Friday, December 20, 2013

Pengalaman ditindas kuat semangat

ALOR GAJAH: Bermula dengan hanya status pelarian di negara ini, masyarakat Melayu Champa atau Cham beragama Islam yang terkenal dengan kemahiran berniaga kini mampu ‘berdiri sama tinggi’ dengan komuniti lain di sini.
Taraf kerakyatan yang diperoleh selepas puluhan tahun menetap di Malaysia membolehkan pintu rezeki mereka terbuka lebih luas dengan dihidangkan pelbagai peluang pekerjaan dan bantuan kerajaan.

Bagi peniaga, Khatijah Sulaiman, 45, pengalaman berdepan kekejaman pemerintahan rejim Pol Pot menjadikan semangatnya lebih kuat untuk memulakan kehidupan di negara ini bersama ibu, Zainab Yusof, 70-an, yang meninggal dunia lima tahun lalu serta abang, Mohd Sulaiman dan kakak, Halimah masing-masing berusia 50-an.
Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup di bumi Malaysia sebaik keluar dari kem pelarian di Cherating, Pahang, dia yang berasal dari Priak Pra, Phnom Penh berniaga secara kecil-kecilan dengan menjunjung barang jualan dari kampung ke kampung ketika berusia 18 tahun.

“Walaupun masih remaja, tidak pun terlintas di fikiran saya mengenai keselamatan diri ketika menyusuri jalan dan lorong kampung. Yang saya tahu, barangan dijunjung perlu dijual, semuanya dek kesusahan hidup.

“Pelbagai pengalaman dirasai termasuk dikejar anjing sehingga terpaksa meninggalkan saja barangan jualan. Biarpun sakit, saya kuatkan semangat untuk berniaga kerana hanya itu saja cara menampung kehidupan disebabkan tiada pendidikan,” katanya.
Khatijah berkata, selepas lebih 10 tahun berniaga dari rumah ke rumah dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan di pasar malam sebelum memulakan perniagaan pakaian di kedai yang di sewa di pekan Masjid Tanah beberapa tahun selepas itu.

“Berniaga adalah satu-satunya punca rezeki saya dan suami (Satria Yaakub, 45) dalam membesarkan enam anak. Seperti orang lain, kami juga pernah melalui saat kejatuhan dalam perniagaan, namun kami bangkit semula dibantu saudara-mara,” katanya.
“Ramai yang menganggap Melayu Cham kini mewah di Malaysia, tetapi mereka tidak tahu penderitaan kami dari dulu untuk hidup di negara ini. Sejak dua tahun lalu, suami pula menjadi orang kelainan upaya (OKU) akibat kemalangan,” katanya.

Menurutnya, dia kini boleh berbangga selepas enam anaknya berusia antara 16 hingga 25 tahun diberikan pendidikan sempurna sehingga ada di antaranya menjadi akauntan, manakala dua daripadanya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.