Friday, December 28, 2012

Người Champa part 4

Uploaded videos (playlist)

Người Champa part 2

Người Champa part 1

Friday, December 21, 2012

Cham bina kampung di kawasan paya


Cham bina kampung di kawasan paya


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MELAKA: Siapa sangka, Kampung Bukit Datuk B, Tanjung Minyak, di sini dulunya kawasan paya yang penuh dengan semak samun, kini sudah berubah wajah menjadi sebuah perkampungan tersusun dan dihiasi deretan rumah batu.
Ia penempatan terbesar warga Malaysia berketurunan Melayu Champa atau Cham di negeri ini.

Kawasan yang dibuka pada 1988 oleh beberapa individu terawal antaranya Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) itu sendiri, Taib Ismail, 50-an dan arwah Mohd Salleh Abdullah kini menempatkan kira-kira 60 kediaman membabitkan lebih 500 penduduk Melayu Cham.

Permuafakatan dan sikap saling membantu dalam komuniti jelas terserlah apabila mereka sanggup berkongsi wang membeli tanah berkenaan dari kerajaan negeri suatu ketika dulu untuk mendirikan penempatan sendiri.

Malah, pengiktirafan istimewa diberikan kerajaan negeri yang menamakan kawasan itu sebagai Taman Sri Champa umpama membuktikan betapa keharmonian masyarakat Melayu Cham dari Kemboja ini tiada tolok bandingnya.

Ahli JKKK kampung itu, Ghani Ismail, 42, berkata, kebanyakan generasi pertama masyarakat Melayu Cham di situ sudah meninggal dunia dan kawasan itu kini diwarisi generasi kedua sepertinya.


“Selepas diberi hak milik tanah, mereka (generasi pertama) membahagikannya secara lot. Kini, boleh dikatakan hampir semua penduduk warga negara Malaysia kerana kami semua dilahir dan dibesarkan di sini,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

Menurutnya, biarpun kawasan itu menjadi perkampungan masyarakat berketurunan Melayu Cham, masih ada minoriti masyarakat Melayu mendirikan kediaman di situ.

Katanya, mereka gembira dan bangga apabila dilayan sama rata serta tidak pernah dipinggirkan masyarakat setempat selama puluhan tahun menghuni kawasan berkenaan.

“Kami dan masyarakat di sini ibarat sebuah keluarga. Sama seperti warga negara Malaysia lain, kami juga memperoleh manfaat sama termasuk pendidikan,” katanya.

Bagi penduduk, Ariffin Mohammad, 37, mereka tiada masalah untuk tinggal di Malaysia kerana budaya dan adat yang diamalkan lebih kurang sama saja.

“Yang berbeza hanya bahasa, tetapi generasi ketiga kini pun dilihat lebih banyak bertutur dalam bahasa Melayu, mungkin disebabkan pergaulan di sekolah.

“Malah, jika dulu kami hanya berkahwin di kalangan masyarakat Melayu Cham, generasi baru sekarang tidak lagi menghadkannya dan sudah berkahwin campur serta memilih untuk tinggal di luar,” katanya.

Beliau berkata, generasi kedua dan ketiga masyarakat Melayu Cham di situ khususnya bagi mereka yang memperoleh pendidikan sempurna kini sebahagiannya menjadi golongan profesional selain berniaga.

Kunjungan ke perkampungan itu baru-baru ini memperlihatkan cara hidup masyarakat Melayu Cham terutama generasi muda yang masih mengamalkan budaya riadah seperti bermain bola sepak, petanque, bola tampar dan catur pada waktu petang.

Perkampungan itu juga menyediakan juadah tradisi masyarakat Melayu Cham antaranya ‘pong mot dot’ (telur ayam bakar) dan ‘pot dot’ (jagung bakar).

Peniaga, Mohd Ali Ismail, 38, berkata, perniagaan menjual makanan itu sejak lebih 10 tahun lalu menjadi sumber pendapatan utama keluarganya.

“Ini adalah makanan tradisi di sana (Kemboja), telur yang dicampur cili, lada hitam, garam dan gula sebelum dibakar sebelum dimakan bersama sos.

“Jagung bakar pula dicurah dengan santan. Makanan ini mendapat sambutan bukan hanya di kalangan penduduk di sini, tetapi juga dari luar,” katanya.

Menurutnya, perniagaan itu sebagai satu cara yang diusahakan untuk mengekalkan budaya dan makanan masyarakat Melayu Cham di kalangan generasi muda.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10



HARIAN METRO 

Bahagia di perantauan


Bahagia di perantauan

Oleh ROSYAHAIDA ABDULLAH
rosyahaida@hmetro.com.my
SUMBER REZEKI...perniagaan kecil-kecilan antara aktiviti kebanyakan masyarakat Melayu Cham di kampung itu.
SUMBER REZEKI...perniagaan kecil-kecilan antara aktiviti kebanyakan masyarakat Melayu Cham di kampung itu.
SEKALI imbas, mereka tiada bezanya dengan masyarakat Melayu di Malaysia sama ada di segi rupa mahupun gaya berpakaian, semuanya seakan sama apatah lagi penampilan bertudung oleh kaum wanitanya seolah-olah etnik Melayu.
Namun, persepsi awal ini pasti berubah sebaik mendengar pertuturan sesama mereka yang sama sekali janggal tetapi unik terutama bagi sesiapa yang belum pernah mengenali atau berkomunikasi dengan golongan berkenaan.
Itulah masyarakat Melayu Champa (Cham) dari Kemboja yang menetap di negara ini. Dengan masyarakat tempatan, penggunaan bahasa Melayu menjadi pengantara untuk berkomunikasi, namun bahasa Kemboja tetap menjadi pilihan ketika berbual sesama mereka.

Penghijrahan Melayu Cham dari Kemboja ke Malaysia sejak awal 1980-an mungkin tidak begitu diketahui umum menyebabkan ada sesetengah pihak menyangka kumpulan terbabit sebagai pendatang asing tanpa izin.


Mana tidaknya, penempatan mereka yang lebih terarah untuk tinggal dalam kelompok sendiri seolah-olah menunjukkan mereka datang ke negara ini tanpa mengikut saluran betul.

Hakikatnya, sebahagian besar komuniti ini sudah mendapat taraf penduduk tetap (PR), sekali gus menjadikan anak mereka yang dilahirkan di sini diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Difahamkan, penghijrahan mereka ke negara ini terjadi ketika pergolakan berlaku di Kemboja pada zaman pemerintahan parti komunis diterajui Pol Pot selaku Perdana Menteri bersama tentera Khmer Rouge antara 1976 hingga 1978.

Pemerintahan itu berlaku selepas gerila Khmer Rouge merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Lol Nol pada 1975.

Bermatlamat membendung kapitalisme dengan memindahkan semua warga kota ke kawasan luar bandar, kemunduran mula tercetus kerana makanan dan pelajaran digerakkan secara berkelompok yang seterusnya mengakibatkan kebuluran.

Kebanyakan rakyat Kemboja ketika itu ibarat menanti hari mati malah mayat boleh dilihat bergelimpangan di sana sini. Pihak yang menentang khususnya, akan dibunuh. Wang dan nyawa sudah tiada nilai.

Penduduk kampung dipukul hingga mati dengan mata cangkul, direndam dalam kolam sebelum ditembak di kepala malah ada juga ditanam hidup-hidup. Penderitaan dilalui rakyat Kemboja khususnya penganut Islam ketika itu adalah kehidupan yang cukup getir.

Insiden itu menyebabkan ramai rakyat negara anggota Asean berkenaan terbunuh secara kejam. Bayangkan, pada 1975 saja, satu per empat daripada lapan juta penduduk Kemboja mati dibunuh gerila Khmer Rouge.

Bagi mereka yang masih terselamat, tindakan melarikan diri ke negara jiran termasuk Thailand dan Vietnam diambil kerana tidak sanggup menjadi mangsa kekejaman rejim Pol Pot.

Pelarian ini kemudian diselamatkan beberapa negara yang menawarkan perlindungan antaranya Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Indonesia dan Malaysia.

Kini, kehidupan masyarakat Kemboja di Malaysia lebih terjamin serta harmoni dan itulah juga keadaan yang diharapkan mereka tatkala menyusuri hidup di negara ini.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09



HARIAN METRO  

Kamus Cham pelindung bahasa kami - Mufti Kemboja

Oleh Mohd Ali Bakri
KUALA LUMPUR: Kamus Cam-Melayu yang julung-julung kali diterbitkan ini, diharapkan akan menjadi pelindung bahasa Cam yang kini sedang berdepan dengan cabaran semasa, kata Mufti Kerajaan Kemboja Sohibus Samahah Okhna Haji Kamarudin Yusof.

"Dengan kemunculan kamus bahasa ini, maka peristiwa ini boleh dirakamkan sebagai hari bersejarah di mana bahasa-bahasa kita selama ini boleh kita ingatkan selalu selepas kita lupa sejak zaman berzaman," kata beliau dalam majlis pelancaran kamus itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) di sini, hari ini.

Menyentuh sejarah perkembangan jatuh bangun negara Champa, beliau berkata, proses Islamisasi bangsa Cam bermula sejak abad ke-10 Masehi lagi, dan hal ini secara tidak langsung telah menjadikan bahasa Cam sebagai salah satu bahasa Islam di dunia.

Pada ketika ini tambahnya, perubahan bentuk tulisan bahasa Cam berlaku daripada bentuk tulisan Sanskrit kepada tulisan Jawi dan ia berlaku sejajar dengan perkembangan Islam dalam kalangan masyarakat Cam.

"Kalau kita nak cakap mengenai bahasa Cam, kita kena ingat semula negara Champa sebab bahasa terlibat secara langsung dengan negara. Dalam sejarah, negara Champa ini sudah lama ditulis.

"Ketika itu, sudah ada orang Champa, tapi masa itu belum ada negara Champa. Sumber dari tamadun China menamakan kita sebagai Lingyi," kata Haji Kamaruddin lagi.

Tambah beliau, menurut sumber yang sama, China menyebutkan bahawa kaum ini sudah pun wujud pada abad sebelum Masehi

"Akhirnya, barulah negara itu ditadbir secara tersusun pada 179 Masehi. Pada masa yang sama, bahasa ini berubah-ubah dari masa ke suatu masa.

"Pada abad ke-5 sampai ke-11, ini tempoh masa yang menyaksikan Champa sedang maju dan bertamadun. Selepas itu, negara Champa mula jatuh satu demi satu. Kita pun diserang oleh orang Yuan atau orang Annang," tambah beliau lagi.

Mengulas sejarah lama, Haji Kamaruddin berkata, kejatuhan itu bermula pada 1069, yang menyaksikan kejatuhan salah sebuah negeri yang berada di bawah naungan kerajaan Champa dan akhirnya pada 1832, negara agung itu telah jatuh secara keseluruhannya.

"Ia jatuh sampai habis. Jadi, ia mengambil masa selama 800 tahun. Tulisan Champa sebelum kedatangan Islam, ia hadir dalam tulisan Sanskrit yang dikenali sebagai thak khak.

"Roh Islam masuk ke Champa pada 878 Masehi oleh sebab peperangan di China. Orang-orang Islam di China tak kuat menahan serangan itu, lalu orang-orang Islam di China ini turun ke Champa," jelas beliau lagi.

Keadaan itu, tambah beliau, telah menyebabkan raja Champa mula memeluk agama Islam dan hal itu belum menunjukkan bahawa agama itu adalah agama rasmi Champa

"Namun, ketika itu pun, agama Islam belum lagi menjadi agama rasmi di sana. Lama-kelamaan, muncul Jawi Cham dan berlaku perubahan sedikit dengan jalan bahasa kita.

"Kini, tulisan Thak Khak (Sanskrit) lain sedikit dan kita bimbang kebudayaan Champa semakin hilang. Kebudayaan Champa itu ada di Acheh, di Pulau Jawa, tapi pusatnya masih di Vietnam dan Kemboja," tambahnya yang menyifatkan bahasa itu boleh hilang dengan sebab derasnya arus kemodenan

Oleh itu, tambah beliau, bahasa yang kita gunakan hari ini bukan seratus peratus sama dengan zaman dahulu.

"Maka, antara arah tujuan penyusunan bahasa Cam melalui penyusunan kamus ini adalah bertujuan memelihara semula bahasa kita.

"Inilah kamus pertama kita. Dan, kalau kami di Kemboja nak buat kamus ini, rasanya tak akan selesai. Jadi, ini adalah usaha untuk menjadikan bahasa Cam ini lebih rapat dengan kita," tambah beliau lagi.

Dalam ucapan alu-aluan itu, beliau turut menyentuh persamaan sebutan antara Cam dan Melayu.

"Le'a adalah liar, teblek itu terbalik, pega itu pagar, jadi kalau tiada kamus Cam - Melayu, tentu sukar untuk kita saling mengenal sesama kita," tambah Haji Yusof.

http://26ramd.blogspot.com/

Keperluan Sebuah Hospital Untuk Komuniti Islam Cham Di Kemboja


Seperti mana yang telah diberitahu pada entri saya yang lepas, saya bersama ibu dan bapa saya telah ke Kemboja pada hujung minggu yang lalu untuk melihat tapak cadangan pembinaan hospital di daerah Kampong Cham, Kemboja. Idea ini tercetus setelah seorang daripada warga Kemboja yang pernah menetap di Malaysia dan sangat fasih berbahasa Melayu, Ustaz Kauthar, dijemput ke rumah saya untuk menceritakan tentang keadaan sebenar orang Islam di Kemboja dari perspektif warga Islam Kemboja sendiri. Secara keseluruhannya, dia menyatakan terdapat banyak pertubuhan-pertubuhan NGO dari Malaysia yang telah melakukan bantuan amal untuk orang Islam di sana, termasuk memberi bantuan makanan, membina masjid, sekolah dan perpustakaan. Namun begitu, mereka masih menghadapi masalah yang besar yang sehingga kini masih belum dapat diselesaikan, iaitu mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan yang berterusan. Sesuatu yang benar-benar diperlukan oleh masyarakat di sana pada saat ini adalah sebuah hospital. Sebelum saya bercerita lebih lanjut tentang cadangan pembinaan hospital itu sendiri, eloklah jika saya memperkenalkan dahulu tentang komuniti Islam di Kemboja agar tujuan pembinaan hospital ini menjadi lebih jelas.

Di hadapan pejabat Al-Ihsan, sebuah pertubuhan yang diasaskan pada tahun 2001 oleh Ustaz Math Sales (berbaju dan berkopiah putih) dan bahagian pemudanya diketuai oleh anaknya, Ustaz Kauthar (memakai t-shirt biru berserta kopiah putih).
Boleh dikatakan keseluruhan orang Islam di Kemboja adalah dari keturunan Cham. Ada juga di kalangan mereka yang dari keturunan Jawa dan Khmer, namun kebanyakan mereka tinggal dan diserap di dalam komuniti Cham sehingga perbezaan keturunan ini semakin kabur. Komuniti Cham berasal dari kerajaan Champa, sebuah kerajaan maritim yang sangat masyur pada sekitar kurun ke-7 sehingga kejatuhannya pada tahun 1832. Kerajaan ini berpusat di kawasan yang kini letaknya Vietnam selatan. Seperti kebanyakan kerajaan-kerajaan lama yang wujud sekitar kurun ke-7, kerajaan Champa yang asalnya menganut agama Hindu-Buddha telah menjadi kerajaan Islam setelah pengislaman kerabat raja-rajanya oleh pedagang-pedangang Arab, India dan Melaka. Pada tahun 1471, kerajaan Vietnam semakin kuat dan berpengaruh dah akhirnya menghapuskan pusat kerajaan Cham utara, Vijaya. Setelah itu pada tahun 1832, saki-baki kerajaan Cham lain telah dihapuskan sama sekali. Pada selang waktu kejatuhan kerajaan Champa ke tangan Vietnam ini, kebanyakan orang Champa berhijrah ke tempat lain, dan kebanyakan akhirnya menetap di Kemboja. Ada juga yang ke Thailand dan Malaysia da nada juga yang masih tinggal di Vietnam.

Daerah Kampong Cham

Kini, kawasan yang diduduki oleh orang Cham inilah yang dikenali sebagai daerah Kampong Cham. Kali pertama saya mendengar tentang Kampong Cham, saya terpedaya dengan nama ‘kampong’ di hadapannnya dengan menyangkakan ianya sebuah kampung kecil. Namun, Kampong Cham merupakan daerah yang besar, malah merupakan daerah ketiga terbesar di seluruh Kemboja dengan anggaran jumlah penduduk sebanyak 63,771 orang! Pusat daerah yang dikenali dgn nama yang sama, ‘Kampong Cham’, terletak 124 kilometer dari bandar Phnom Penh. Di dalam daerah ini, dianggarkan terdapat lebih 70 kampung-kampung kecil. Orang Cham bertutur dalam bahasa Cham. Saya memperhatikan bahawa bahasa Cham kedengaran lebih mirip dengan bahasa Melayu berbanding bahasa Khmer yang merupakan bahasa rasmi Kemboja. Saya diberitahu bahawa terdapat banyak perkataan Cham yang sama dengan bahasa Melayu. Oleh itu, orang Cham sangat mudah mempelajari bahasa Melayu. Terdapat juga orang Cham yang boleh bertutur fasih dalam Bahasa Melayu kerana pernah menuntut atau tinggal di Malaysia untuk jangka masa yang lama. Yang menariknya, ada juga antara mereka yang fasih bertutur bahasa Melayu dalam loghat Kedah, Kelantan atau Terengganu! Orang Cham mengamalkan ajaran Islam Sunni dan menganut mazhab Shafie’. Mereka menjalankan kesemua rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu . Namun begitu, kebanyakan daripada mereka tinggal di kampung dan hidup dalam kemiskinan, maka tidak ramai yang mampu membayar zakat dan menunaikan haji. Kebayakan mereka yang di kampung bekerja sebagai petani dan nelayan, manakala mereka yang lebih dekat dengan kawasan bandar bekerja sebagai peniaga runcit dan restoran.
Orang Cham menunaikan yang solat di Masjid
Orang Cham merupakan puak minoriti di Kemboja. Statistik dari Kerajaan Kemboja menanggarkan hanya sebanyak 4% penduduk Kemboja adalah orang Cham. Namun anggaran dengan julat perbezaan yang sangat besar ini mungkin juga tidak tepat kerana ketiadaan system bancian yang sistematik dilakukan oleh kerajaan Kemboja. Tambahan pula, kebanyakan orang Cham tinggal di pedalaman, menyukarkan proses bancian. Kadar kelahiran orang Cham juga semakin bertambah manakala kadar kelahiran daripada penduduk Kemboja lainnya semakin berkurang, menjadikan peratusan populasi mereka semakin bertambah dari hari ke hari. Anehnya, dengan jumlah penduduk Islam yang begitu ramai (500,000 – 700,000 orang), tiada satu pun klinik atau hospital yang didirikan atau dikendalikan oleh doktor Islam. Faktor utama adalah kekurangan doktor Islam di negara mereka sendiri, yang juga diakibatkan oleh kurangnya peluang pembelajaran untuk anak-anak Cham yang hidup dalam kemiskinan. 

Kebanyakan orang Cham menyara diri dengan menangkap ikan di Tasik Tonle Sap (photo courtesy of Nigel Dickinson)
Di sini saya akan mula membicarakan apa perlunya sebuah hospital di daerah Kampong Cham. Dari segi geografi, mereka yang menetap di kampung-kampung pedalaman harus berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di bandar Phnom Penh. Dari kawasan kampung, ia mengambil masa paling kurang 2 jam, dan dari kampung yang terletak di kawasan pedalaman, ianya boleh mengambil masa lebih 5 jam. Kerana kos yang mahal untuk perjalanan ini, kebanyakan mereka pada akhirnya tidak mencari rawatan untuk penyakit-penyakit yang mereka hadapi. Bagi yang mampu pula, mereka terpaksa berhadapan dengan karenah birokrasi dan diskriminasi oleh pengendali di hospital kerajaan yang kebanyakannya tidak memahami Islam dan memandang rendah terhadap orang Islam Cham. Melalui beberapa temu ramah saya terhadap orang di sana, mereka menceritakan kisah-kisah pahit ketika mendapatkan rawatan. Kebanyakan mereka dilayan dengan kasar hanya kerana memakai tudung atau hijab. Keadaan ini menjadi serius sehinggakan kebanyakan mereka terpaksa membuka hijab ketika berada di kawasan hospital bagi mengelakkan layanan buruk dan diskriminasi pihak hospital. Masalah yang lebih besar timbul apabila adanya ibu yang hendak bersalin. Kerana ketidakfahaman kebanyakan orang di Kemboja terhadap Islam, maruah pesakit, terutama ketika bersalin tidak begitu dititik-beratkan. Suatu kisah sedih yang dikongsikan oleh seorang penduduk di sana adalah pada suatu ketika, seorang ibu yang bersalin bukan sahaja dijaga dan bayinya disambut oleh doktor lelaki (ini masih boleh diterima), namun turut diperhatikan oleh 10 orang doktor pelatih di dalam bilik bersalin tersebut yang kesemuanya lelaki! Memanglah keadaan ini dikira sebagai darurat, dan mungkin memang niat kesemua doktor pelatih tersebut hanyalah untuk belajar, namun alangkah baiknya sekiranya ibu yang bersalin mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan dan bersalin di sebuah hospital yang menitik beratkan adab di dalam Islam selain juga menitik beratkan pengajaran. 

Ibu saya (paling kiri) bersama kaum hawa Kampong Cham
Keperluan untuk sebuah hospital juga timbul dengan bertambah jumlah dan saratnya penyakit yang dihadapi oleh kanak-kanak. Hasil temuramah saya mendapati kebanyakan anak-anak menghidapi penyakit saluran permakanan, penyakit kulit, kekurangan nutrisi dan penyakit berjangkit. Penyakit berjangkitan seperti jangkitan cacing pernah diberi perhatian oleh sebuah pertubuhan NGO di Malaysia di mana mereka membekalkan ubat-ubat cacing kepada kanak-kanak di sana. Namun, seperti juga bantuan kemanusiaan lain, kelangsungan dan keberterusan usaha-usaha ini amat sukar dengan tiadanya pertubuhan tetap yang mengendalikan usaha-usaha ini yang berpangkalan di Kemboja. Oleh itu, kebanyakan usaha-usaha ini hanya dilakukan paling banyak setahun sekali sedangkan pesakit memerlukan ‘follow-up’ atau perhatian perubatan yang berterusan. 

Ustaz Kauthar menunjukkan tanah yang dicadangkan menjadi tapak penubuhan hospital
Terdapat juga beberapa lagi kisah yang mungkin saya akan kongsikan di entri-entri akan datang. Saya berharap agar idea dan usaha untuk membina sebuah hospital di sana akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Saya sedar bahawa usaha ini amat sukar dan mungkin memakan masa bertahun-tahun melihat kepada proses penubuhan hospital di Malaysia sendiri. Namun begitu, saya berharap segala usaha ini tidak akan menjadi sia-sia. Sebagai permulaan, saya akan berusaha untuk menubuhkan sebuah badan NGO yang berperanan memantau, mengendali dan mengutip derma untuk tujuan pembinaan hospital. Saya juga memerlukan bantuan orang ramai untuk menyebarkan maklumat tentang komuniti Islam di sana dan juga tentang pembinaan hospital ini. Diharap semua usaha ini diberkati oleh Allah SWT, insyaAllah. 


http://lutfi-fadil.blogspot.com

Insaf di Phnom Penh


norainon@hmetro.com.my


MASUK KAMPUNG...penulis bersama anak Melayu Champa di depan rumah penduduk Kampung Prikajiay.
MASUK KAMPUNG...penulis bersama anak Melayu Champa di depan rumah penduduk Kampung Prikajiay.
JIKA sebelum ini destinasi menarik dan bersejarah dijejaki, kembara di Kemboja sungguh menginsafkan dan membuatkan penulis merenung diri sendiri. Selepas melihat kedaifan saudara se-Islam di negara lain, timbul kesedaran dan rasa syukur tidak terhing­ga kerana dilahirkan di bumi Malaysia.
Menelusuri jalan kampung dengan kiri kanan sawah padi yang kering kontang, kehadiran penulis ke Kampung Prikajiay dalam negeri Kampung Cham, Phnom Penh, Kemboja sememangnya mencorakkan seribu satu rasa.
   
  • FotoALA KADAR...rumah penduduk kampung yang dirakam dalam perjalanan dari Siem Reap ke Phnom Penh.
  • FotoMAKANAN EKSOTIK...cengkerik goreng menjadi snek penduduk di Kampung Thom.
Sebaik pacuan empat roda dinaiki penulis mematikan enjin dan pintu kenderaan dibuka, kedengaran pengumuman dari pembesar suara surau. Serentak dengan itu, kumpulan anak kecil dan dewasa memenuhi ruang di bawah pokok asam jawa bagi menanti kehadiran kami.

Jika di jalan utama, penulis disajikan dengan pemandangan rumah penduduk yang penulis kira daif, di Kampung Prikajiay, keadaannya lebih teruk lagi. Terasa bagaikan berada di era 1970-an apabila melihat tempat berteduh yang dikatakan rumah, sebenarnya tidak lebih sekadar pondok berdinding dan beratap daun palma kipas yang mudah didapati di tepi sawah.


Tiada rumput hijau menutupi bumi, sebaliknya cuma tanah merah menjadi hamparan. Pohon besar yang menjadi tempat bernaung turut kering, manakala pohon renek hampir mati atau tidak berdaun.

Musim kemarau sejak enam bulan lalu mengubah peman­dangan perkampungan Islam yang dihuni 250 keluarga daripada hijau kepada rona suram.

Bagaimanapun, walaupun cuaca panas, terik mentari tidak membahang, sebaliknya kami kekal dalam keadaan selesa kerana tidak berpeluh atau tubuh melekit.

Sebagai pembuka bicara, kami dijamu teh herba dan sedikit latar belakang kampung. Guru agama kampung ber­kenaan, Mohd Smari Ismail, 56, fasih berbahasa Melayu. Loghat percakapannya seperti bahasa Melayu yang digunakan di Kuala Lumpur, Selangor atau Johor.

Menurutnya, Prikajiay ialah kampung lama yang dibuka lebih 200 tahun lalu. Ia dihuni penduduk Islam Melayu Champa dari Vietnam yang melarikan diri ke Kemboja ketika peperangan.

Kehidupan mereka jauh ketinggalan. Tiada barangan mewah, sebaliknya kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sukarnya mencari sesuap nasi dan lepas daripada kepompong kemiskinan kerana kebanyakan mereka tidak berpelajaran.

Tanpa bekalan air bersih dan elektrik, penduduk menggunakan sumber bekalan air yang dipam dari bawah tanah manakala bagi yang berkemampuan, mereka yang mempunyai televisyen terpaksa menggunakan bateri sebagai sumber tenaga.

Pekerjaan utama penduduk ialah mengerjakan sawah padi dan bercucuk tanam. Bagaimanapun, ketika kunjungan kami, padi sudah dituai manakala bendang kering kontang.

Menurutnya, surau di kampung itu baru empat bulan siap dibina secara bergotong-royong. Ia mendapat bantuan kewangan daripada penderma Mesir yang disalurkan melalui pertubuhan kebajikan di Kemboja.

Pihak pemerintah tidak mendirikan masjid atau surau kerana penduduk Islam ialah golongan minoriti. Kebanyakan penduduk Kemboja ialah penganut Buddha.

Smari berkata, sumbangan diberikan penderma Mesir hanya mampu membuat bahagian dalam surau, manakala di bahagian luar surau masih berhutang. Penduduk berharap lebih banyak umat Islam tampil membantu.

Impian penduduk ialah satu hari nanti mereka dapat mendirikan sekolah agama bagi kemudahan anak di kampung ber­kenaan serta kawasan sekitarnya. Menurut­nya yang berpengalaman 30 tahun sebagai guru agama, di sini, imam dipanggil ‘hakim’. Kampung Cham mempunyai 100 kampung dan 200 masjid.

Tiada siapa yang mempu­nyai kereta, cuma basikal atau kereta kuda dan bagi yang sedikit berkemampuan, motosikal menjadi pengangkutan utama.

Setakat ini, perkampungan itu kurang dijejaki orang Malaysia kerana ia terletak di pedalaman dan kurang dikenali. Program korban dan aqiqah setahun sekali yang dilakukan orang kita bia­sanya ­dijalankan di perkampungan Islam di seberang Sungai Mekong.

Penduduk kampung membawa kami melawat dari rumah ke rumah. Kebanyakan rumah bertiang tinggi dengan di bahagian bawah untuk tempat berehat dan memasak. Kedai runcit yang menjadi tempat penduduk mendapatkan barangan tidak ubah seperti pondok tanpa dinding.

Wajah penduduk Melayu Champa tidak jauh berbeza de­ngan orang Melayu kita. Dengan kulit sawo matang, jika mereka mahir berbahasa Melayu, sukar membezakan antara orang Melayu kita dengan Melayu di Kemboja.

Bahasa pertuturan orang Kampung Cham ialah Bahasa Cham. Banyak sekolah di Kampung Cham menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Smari sendiri misalnya, me­nguasai Bahasa Melayu kerana belajar agama menggunakan kitab Melayu dan Arab. Jadi tidak hairan semakin ramai golo­ngan muda mampu bercakap Bahasa Melayu dengan orang luar, terutama dari Malaysia dan Singapura.

Penduduk, Ahmad Ali, 43, ramah menyapa kami. Menurutnya, dia pernah bekerja dan menetap di Malaysia selama empat tahun.

Selepas bekerja sebagai buruh binaan mendirikan surau di Sungai Besi, dia pulang ke tanah air tiga tahun lalu. Rumahnya kini dalam pembinaan daripada kayu kepada batu-bata.

Jarak Kampung Prikajiay dari Kampung Cham ialah 32 kilo­meter manakala dari Phom Penh sejauh 95 kilometer. Perjalanan dari Phom Penh ke kampung itu me­ngambil masa dua setengah jam.

Keluar dari kampung itu, kami singgah di kedai makan Kampung Prey Sreay. Kami menikmati sajian enak ikan haruan bakar dengan ulaman, sup ayam kampung dan kacang panjang dengan hirisan daging batang pinang.

Menantu pemilik kedai makan, Ahmad Sulaiman, 27, yang pernah bekerja kilang besi di Balakong, fasih berbahasa Melayu. Kata Ahmad yang baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu, dia mampu menguasai Bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan menetap di Malaysia.

Menurutnya, Kemboja mempunyai 24 negeri dan di semua tempat ada penduduk beragama Islam. Di Kampung Cham, orang Islam banyak menetap di seberang Sungai Mekong, Kampung Chemnik. Penduduk belajar agama di masjid manakala kanak-kanak memulakan alam persekolahan pada usia empat tahun. Bagaimanapun, ramai anak muda berhenti sekerat jalan kerana kekangan kemiskinan.

Untuk ke Phnom Penh, penulis dan suami menaiki bas dari Siem Reap dengan tambang AS$10 (RM30). Kami menempuh perjalanan enam jam sebelum bertemu pemandu pelancong kami, Bora yang menunggu di stesen bas Phnom Penh.

Sepanjang perjalanan dari Siem Reap ke ibu negara Kemboja itu, kami disajikan pemandangan sawah padi terbentang. Kebanyakan lembu di Kemboja berwarna putih manakala di kawasan paya atau kolam, mudah didapati kawanan itik.

Di sepanjang perjalanan, rumah penduduk berdinding dan beratap daun palma kipas menjadi santapan mata. Di depan setiap rumah kelihatan kolam dipenuhi pokok teratai mahupun itik berenang.

Rumah bertiang tinggi dibina teratur dalam sebidang tanah gersang. Di belakang setiap rumah kelihatan petak sawah yang kering kontang diselangi pohon palma kipas.

Penduduk lebih berkemampuan boleh dijangkakan dengan melihat pada tangga yang lebih cantik, rumah papan atau batu. Dua hari kami di Phnom Penh, tetapi pe­ngalaman melihat kesusahan orang lain menginsafkan diri.

Ketika menunggu bas bertolak dari perhentian bas Siem Reap, kelihatan ramai penjual roti menawarkan jualan mereka. Separuh perjalanan ke Phnom Penh, bas yang kami naiki singgah di Kampung Thom.

Di tepi jalan, beberapa peniaga Kemboja menjual cengkerik goreng. Dulang berisi cengkerik goreng agak penuh dan ia dijual dengan sukatan menggunakan tin. Difahamkan, cengkerik dijadikan sebagai snek oleh orang Khmer.

Ramai penumpang bas yang kami naiki ialah pelancong sama ada Mat Salih mahupun Melayu. Tidak risau berada di Kemboja kerana mudah terse­rempak dengan orang Malaysia.

Bas yang kami naiki kerap membunyikan hon. Sepanjang perjalanan, hon dibunyikan ketika mahu memotong bagi memberitahu pemandu atau penunggang di depan atau dari arah bertentangan.

Sebelum itu, kami singgah makan di restoran Malaysia dan Singapura Di Phom Penh. Menu disediakan dalam Bahasa Melayu, misalnya roti canai, roti telur, nasi lemak, nasi goreng dan nasi campur.

Pekerja restoran berkulit mulus, bertanya penulis dalam Bahasa Melayu. Menurutnya, dia tahu berbahasa Melayu kerana di bersekolah aliran Melayu di kampung asalnya di Kampung Cham.

Sepanjang perjalanan ke Phnom Penh juga kelihatan banyak pusat Islam. Di beberapa tempat, ada kilang batu bata. Batu merah yang berongga itu dibakar menggunakan kayu getah.

Di tanah subur, kelihatan ladang kacang tanah. Di Phnom Penh, kami turut melawat muzium negara dan Killing Field, kawasan yang menjadi saksi pembunuhan kejam Pol Pot.

Pada zaman pemerintahan rejim Khmer Rouge sekitar 1975, 20,000 penduduk Kemboja di­seksa dan mayat mereka di­timbus dalam lubang cetek di kawasan yang asalnya jirat Cina.

Selain itu, kami mengunjungi pasar malam di Phnom Penh menaiki tuk-tuk dengan bayaran AS$4 (RM12) bagi satu perjalanan.

HARIAN METRO 

Pengalaman di Kemboja menginsafkan


Oleh Saifulizam Mohamad


KETIKA berjalan-jalan di pasar sehari di Kampung Jumnik (Kampong Cham, Kemboja) sehari selepas kumpulan ekspedisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) tiba di kampung itu, saya telah disapa oleh seorang penduduk tempatan berusia sekitar 70-an.

Dengan riak muka yang begitu ceria dan amat mesra dia kemudian bersungguh-sungguh mengajak saya datang ke rumahnya untuk bersarapan dengan ahli keluarga yang lain.


Walaupun agak terkejut dengan pelawaan itu namun saya mengambil keputusan menerima pelawaan Omar Dollah, 72 berasaskan semangat saudara sesama Islam kerana itu jugalah yang dituntut oleh syariat.

Omar cuba berbual dengan saya tetapi malangnya bahasa Melayu yang digunakan agak sukar difahami kerana dialek bahasa Melayu Champanya begitu pekat.

Dia bertanyakan pelbagai soalan dan saya berusaha menjawab sedaya upaya walaupun diakui sebahagian besar perkara yang disoal amat sukar difahami.

Dalam perjalanan ke rumahnya Omar sempat membeli kuih cekoi namun saya hairan apabila melihat kepingan wang kertas rial (mata wang Kemboja) yang diberikan kepada penjual kuih tersebut agak banyak.

Setiba di rumahnya saya diperkenalkan dengan anak perempuannya, Khadijah, 26, isterinya, Hamidah Yusof, 65.

Komunikasi saya dan keluarga Omar menjadi lebih mudah apabila Khadijah fasih berbahasa Melayu kerana dia sebelum ini pernah tinggal di Kampung Payung, Kuala Terengganu bersama suaminya Ramli Salleh, 32 untuk bekerja.

Omar dan anaknya mempelawa bersarapan pagi dengan memberi saya hidangan tradisional masyarakat Melayu Champa iaitu pecok atau dikenali dengan laksa Kemboja.

Semasa saya bersarapan Khadijah menceritakan keadaan hidup kebanyakan orang Melayu Champa di Kemboja khususnya di kampungnya iaitu Kampung Jumnik.

Khadijah yang kini sedang sarat mengandung memberitahu keadaan hidup orang Melayu di sini jauh berbeza berbanding orang Melayu di Malaysia.

Menurut Khadijah, hampir sebahagian besar orang Melayu Kemboja hidup dalam keadaan miskin dengan purata pendapatan sehari antara RM10-RM20. Mereka bekerja sebagai nelayan petani atau peniaga kecil.
Keadaan yang menghimpit itu telah mendorong sebahagian di kalangan anak-anak muda Melayu Kemboja berhijrah ke Malaysia dan beberapa negara lain.

Khadijah memberitahu saya bagaimana sukarnya mereka melalui kehidupan seharian di Kemboja memandangkan pekerjaan di sini amat terhad.

Keadaan semakin menghimpit apabila barangan keperluan asas seperti minyak petrol, minyak masak, gula, susu pekat dan ikan amat mahal jika dibandingkan dengan pendapatan yang mereka perolehi.

Khadijah berkata, harga minyak petrol di Kemboja adalah 5,000 rial (RM5) seliter, minyak masak 8,000 rial (RM8) sekilogram, susu pekat kecil 3,000 rial (RM3) setin dan ikan 10,000 rial (RM10) sekilogram.

‘‘Di Malaysia semuanya murah. Minyak masak di sana cuma RM2.20 sekilogram. Minyak petrol seliter tidak sampai RM2. Susu pekat manis hanay RM2.20 dan itu pun tinnya lebih tinggi. Di Kemboja lain, semua barang mahal,” kata Khadijah.

Namun begitu, apa pilihan mereka dan mahu tidak mahu orang Melayu Kemboja perlu teruskan hidup walaupun dibebani dengan faktor kemiskinan.

Saya juga diberitahu oleh Khadijah ‘milo’ di Kemboja adalah teh tiga dalam satu dan bukannya air coklat seperti di Malaysia.
Mujur jugalah katanya, suaminya, Ramli dan abangnya, Ahmad, 32, masih bekerja di Terengganu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
‘‘Suami dan abang saya ada mengirimkan wang untuk kami. Tambahan pula emak dan ayah turut menjaga du orang anak abang, Rosdi Ahmad, 10 dan Amirah, 8. Mereka berdua sedang bersekolah dan amat memerlukan perbelanjaan.
‘‘Saya pula hendak bersalin dan dijangka pada bulan ini.Saya juga amat memerlukan perbelanjaan tambahan,” ujarnya.

Ada satu perbuatan Hamidah, ibu kepada Khadijah yang menggelikan hati saya apabila dia menunjukkan segumpal wang rial jika hendak membeli gula sekilogram dan telatahnya itu menjawab persoalan apabila melihat harga kuih cekoi dibeli oleh suaminya, Omar.
‘‘Sepuluh rial sama dengan sepuluh sen duit Malaysia dan ia dicetak dengan wang kertas. Jika harga sekilogram 4,000 rial berapa keping wang kertas 10 rial terpaksa digunakan melainkan terdapat nilai lebih besar,” kata Khadijah.

Bagaimanapun di sebalik kemiskinan yang membelenggu orang Melayu di Kemboja mereka mempunyai budi bahasa dan akhlak yang amat tinggi antaranya mereka amat memuliakan tetamu.
Mereka bersungguh-sungguh meminta saya menjamah setiap makanan yang dihidangkan.
Apa yang lebih penting, pengalaman bertemu Omar sekeluarga tidak sampai dua jam itu amat menginsafkan apatah lagi pemerhatian saya secara keseluruhan terhadap kehidupan orang Melayu di Kemboja selama tiga hari JWJ2 mengembara di negara itu.

Kepada rakyat Malaysia, mungkin catatan pengalaman ini tidak berbekas namun ingatlah tidak rugi menjadi seorang yang bersyukur terhadap segala kurniaan Allah.

Insaflah, bumi Malaysia yang kita duduki selama ini begitu aman dan makmur berbanding negara-negara lain. Oleh itu, pertahankanlah kemakmuran dan keamanan ini dengan segala kudrat serta tenaga yang ada.

SUMBER :UTUSAN MALAYSIA



Perancangan terperinci keluarkan Melayu Cham dari belenggu kemiskinan

Kementerian Hal Ehwal Islam Kemboja sedia kemudahan asas bagi pertingkatkan lagi taraf sosioekonomi penduduk minoriti Muslim 


PERANCANGAN terperinci disusun untuk komuniti 500,000 penduduk Melayu Cam di Kemboja membabitkan dakwah, pendidikan, kesihatan, ekonomi serta penyediaan kemudahan asas untuk menggerakkan transformasi sosioekonomi etnik minoriti Islam itu. 


Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Kemboja, Dr Sos Mousine, berkata kalau mereka berterusan menunggu bantuan luar seperti sekarang maka segala keperluan sendiri tidak mampu dipenuhi selama-lamanya sekali gus mengekalkan komuniti itu dalam keadaan miskin serta tidak berpendidikan. 

“Yang sangat penting sekarang adalah pendidikan bermula peringkat rendah. Ia mampu mengubah kehidupan sekeluarga dan seluruh komuniti pada masa depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Preah Sisowath Quay, Phnom Penh. 

Beliau mengambil contoh komuniti Cina datang ke Kemboja kira-kira 40 tahun lalu dalam keadaan lebih miskin daripada penduduk Kemboja. 

“Tetapi bagaimana sekarang mereka menjadi orang yang sangat kaya? Mereka hanya menanam sayur, tetapi boleh menjualnya dan memperoleh wang . Mereka kemudian membina rumah yang baik dan mampu membiayai persekolahan anak dalam jurusan profesional atau kemahiran tinggi lain. 
“Jadi apa yang kami fikir ialah jika kami terus menunggu bantuan luar, maka kita gagal memenuhi keperluan sendiri. Sebab itu, diri dan komuniti Melayu Cam perlu membina serta menyediakan sendiri keperluan itu. Kita boleh mengharapkan idea dan bantuan material dari luar. Inilah pemikiran dan strategi untuk komuniti Islam di negara ini,” katanya. 

Majoriti penduduk Kemboja iaitu 95 peratus adalah beragama Buddha dan empat peratus lagi menganut Islam. Mereka hidup harmoni dan penuh toleransi. 

Ketika ini, semua kampung ada masjid atau surau atau kedua-duanya. Ada 280 masjid, 370 surau dan 200 sekolah agama di seluruh negara. Mereka memerlukan antara 80 hingga 90 masjid lagi selain 100 sekolah agama. Ada setengah kampung memerlukan sebuah atau dua bilik darjah tertakluk kepada keperluan. 

Dr Mousine berkata, 85 peratus penduduk Melayu Cam di luar bandar adalah petani dan nelayan yang tertumpu ke kawasan pinggir Sungai Mekong dan Tasik Tonle Sap serta tanah pamah di bahagian tengah negara itu. Kira-kira 10 hingga 15 peratus lagi peniaga kecil, kakitangan kerajaan, pekerja kilang dan menyertai sektor perkhidmatan. 

Beliau berkata, tindakan kementeriannya dalam tempoh 15 tahun lalu ialah meminta ibu bapa menghantar sekurang-kurangnya seorang anak mereka ke sekolah. Malangnya, masih ramai ibu bapa tidak berkemampuan menghantar anak ke sekolah kerana sara hidup setakat cukup untuk makan. 

“Kami turut mencari penaja dari dalam dan luar negara untuk memberi biasiswa kepada pelajar berkelayakan. Kami juga membina asrama untuk menampung kira-kira 60 pelajar perempuan untuk menamatkan pelajaran peringkat tinggi. Mereka sangat bersemangat, memakai hijab dan bakal memainkan peranan penting dalam masyarakat,” katanya sambil memberitahu reka bentuk asrama pelajar lelaki sedang disiapkan. 

Pihaknya melalui jawatankuasa khas juga sedang menyiapkan pelan induk pembinaan Pusat Islam Phnom Penh. Projek itu untuk menyelaraskan pelan induk pembangunan Islam di negara itu. Selain masjid dan kolej pengajian, kompleks itu mengandungi lot perniagaan dan beli-belah bagi menjana pendapatan. Ia dijangka siap empat atau lima tahun lagi. 

Pusat Islam lebih kecil turut dibina di beberapa wilayah dengan sokongan kerajaan luar seperti Malaysia dan negara Arab. 

Kemboja turut mempunyai 20 sekolah agama yang diiktiraf kerajaan Kelantan dan Universiti Al-Azhar. 

Beliau berkata, selepas kerajaan Khmer Rouge pimpinan Pol Pot tumbang pada 7 Januari 1979, saki-baki penduduk etnik Melayu Cam yang tahu membaca diminta mengajar kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. 

“Ada yang tahu solat diminta mengajar kanak-kanak bersolat. Ada kampung menghantar seorang penduduknya belajar selama enam bulan atau setahun di kampung lain. Mereka kemudian balik semula untuk mengajar kanak-kanak kampungnya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada yang tahu mengimamkan solat jemaah dan mengajar membaca al-Quran. 

“Daripada belajar agama di bawah rumah, kemudian terbina madrasah, surau dan akhirnya masjid di kebanyakan kampung utama sekali gus syiar Islam kian memancar dalam 22 wilayah bumi Kemboja,” katanya. 

Namun, satu lagi masalah yang membelenggu komuniti Melayu Cam ialah kesihatan. Antaranya, kadar kematian bayi dan ibu ketika bersalin selain kekurangan zat, ancaman penyakit serta kebuluran. 

“Nenek saya juga antara yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Ramai ibu Melayu Cam yang melahirkan anak di rumah secara tradisional. Alhamdulillah, kini ada 50 pegawai perubatan termasuk doktor dan jururawat Melayu Cam yang memberi perkhidmatan klinik bergerak di seluruh negara. Pembelajaran mereka dibiayai oleh Bank Pembangunan Islam. 

“Mereka pergi ke kampung dan pedalaman untuk mengajar penduduk mengenai pelbagai aspek kesihatan. Ibu mengandung juga diajar cara untuk menjaga kesihatan diri dan kandungan seperti mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat,” katanya. 

Antara kekangan sekarang ialah, ibu mengandung enggan mendapatkan khidmat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor lelaki kerana malu atau anggapan itu bertentangan dengan syariah. 

“Justeru, kami merancang membina sekurang-kurangnya satu Klinik Komuniti Muslim di Kompong Cham, Kompot Chhnang dan Kampot. Dengan ada hospital dan klinik seperti ini, diharap komuniti Melayu Cam akan lebih faham mengenai isu kesihatan,” katanya. 

Dari segi kemahiran, etnik Melayu Cam sangat ketinggalan kerana mereka tiada pendidikan. “Kalau belajar pun setakat sekolah rendah dan mereka kemudian berkahwin,” katanya. 

Justeru, ada skim latihan menjahit dilancarkan untuk wanita bagi membolehkan mereka sekurang-kurangnya membuka bengkel jahitan kecil-kecilan di rumah untuk meningkatkan pendapatan keluarga. 

Skim pinjaman kredit mikro juga disediakan sebagai modal penduduk berniaga kecil-kecilan. 

Telaga juga dibina di semua kampung bagi menjamin penduduk memperoleh bekalan air lebih bersih berbanding bekalan air dari sungai atau tasik yang bercampur sisa najis. 

“Kerajaan merancang membekalkan elektrik ke kawasan lebih jauh di luar bandar dalam masa empat atau lima tahun ini, tetapi tidak berupaya melakukan untuk bekalan air. Sebab itu, turut kami rancang membina telaga di kawasan tanah tinggi dan kawasan terpencil. 

Menjelang Ramadan ini, katanya, rata-rata penduduk etnik Melayu Cam tidak cukup makanan apatah lagi persiapan menyambut Aidilfitri. 

“Sebab itu, kami sentiasa membimbing mereka bagaimana mencari kerja dan memperoleh pendapatan. Kami juga terus menasihati ibu bapa menghantar anak ke sekolah. Jangan lagi buang masa dan ibu bapa terus dibelenggu kemiskinan,” katanya.

sumber : BERITA HARIAN 

Saturday, October 27, 2012

Kemboja tumpuan ibadah korban


AMALAN melakukan ibadah korban di luar negara dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara negara yang sering menjadi tumpuan warga Malaysia termasuk Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Laos dan India.
Ibadah itu bukan sahaja cenderung dilakukan oleh individu malah institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), badan kerajaan atau korporat juga terbabit.
Pada masa sama, kumpulan terbabit terutamanya pelajar IPT turut mengambil kesempatan melakukan program khidmat masyarakat bagi membantu penduduk Islam yang miskin.
Sambutan menggalakkan
Sebuah syarikat yang menguruskan ibadah korban dan akikah di luar negara, EZ Qurban Sdn. Bhd. turut mengakui bahawa khidmat melakukan ibadah korban di luar negara terutamanya Kemboja mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di negara ini.
Sejak ditubuhkan pada 2007 itu, syarikat yang beribu pejabat di Batu Caves, Selangor itu menyedari bilangan lembu yang dikorbankan meningkat sekali ganda setiap tahun.
Pengurusnya, Mohd. Faizal Eshak berkata, pada tahun ini syarikat tersebut menyasarkan sehingga 5,000 binatang untuk dikorban di luar negara dengan satu bahagian lembu berharga RM280.
“Kita mempunyai cawangan di Phnom Penh, Kemboja yang bertanggungjawab menguruskan pelaksanaan dan pengagihan daging lembu di setiap kampung terpilih.

SELAIN ibadah korban, program khidmat masyarakat turut dilakukan pihak tertentu bagi membantu penduduk di Kemboja.


“Peserta pula akan diberikan sijil penyertaan dan boleh juga mengikuti rombongan bagi menyaksikan ibadah tersebut dijalankan pada kadar bayaran RM1,750 termasuk tiket penerbangan dan penginapan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sebuah lagi syarikat, Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. yang menguruskan ibadah korban di Kemboja turut menerima sambutan hangat daripada para pelanggannya.
Urus setia syarikat berkenaan, Fadhlatullah Zakaryya berkata, tahun ini masuk kali ke-19 syarikat tersebut menjalankan ibadah korban di Kemboja dan bilangan binatang yang dikorbankan turut meningkat setiap tahun.
Menurutnya, pada awal perlaksanaan program ini cuma 17 ekor dikorbankan berbanding dua ekor tahun lalu dengan jumlahnya meningkat kepada 3,255 ekor.
Harganya juga jauh lebih murah iaitu RM270 untuk satu bahagian lembu atau RM530 untuk seekor kambing. Sijil penyertaan disahkan oleh pengerusi program dan mufti kerajaan Kemboja.
Jelasnya, pemilihan tempat ibadah korban pula dilakukan di kawasan yang mempunyai jumlah umat Islam miskin paling ramai seperti masyarakat Melayu Champa yang merupakan kaum minoriti dengan jumlah penduduk 500,000 daripada 13 juta rakyat Kemboja.

AMALAN melakukan ibadah korban di Kemboja semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.


Pendekatan berbeza
Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula mempunyai pendekatan yang berbeza dengan melaksanakan program khidmat masyarakat bersama penduduk tempatan.
Pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu, Kampung Chhnang, Kemboja dipilih sebagai lokasi program ibadah korban dan khatan.
Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr. Ismail Ahmed berkata, program itu bertujuan membantu umat Islam yang fakir miskin.
Menurutnya, selain ibadah korban, pusat terbabit mengadakan program berkhatan beramai-ramai selama tiga hari membabitkan lebih 100 kanak-kanak secara percuma.
“Di samping itu, UTM menerusi Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air akan mengadakan program merawat air tercemar untuk membekalkan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan.
“Tiga tahun lalu, UTM juga mengadakan program korban, berkhatan dan menggali perigi pam untuk membekalkan air bersih bagi kegunaan penduduk Kampung Chhnang,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
sumber : KOSMO

Rais hadir Program Silaturahim Malaysia-Kemboja

PHNOM PENH - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini menghadiri Program Siraturahim Budaya Serumpun Malaysia-Kemboja di Kampung Speu, Chom Kaalee, 170km dari sini.
   
Program itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di kampung yang mempunyai penduduk Melayu Islam seramai 2,000 orang.
   
Rais dalam ucapan di majlis itu berharap budaya masyarakat Melayu Champa di negara ini akan dapat terus bangkit dan dipertonjolkan.
   
Dalam memperkenalkan kebudayaan Melayu Malaysia kepada masyarakat Melayu di negara ini, beliau berkata Pejabat Jabatan Kebudayaan akan mengadakan pertunjukan kebudayaan di negara ini tidak lama lagi.
   
Ia bagi memperkenalkan muzik, lagu, pantun, perumpamaan, peribahasa dan seloka Melayu Malaysia, katanya.
   
Rais berkata rakyat Malaysia ada kaitan dengan orang Melayu di Kampung Cham di sini melalui perkahwinan dan perdagangan.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Masjid Kampung Speu, RM12,000 kepada enam buah surau di sekitar sini serta sumbangan RM5,000 juga diagihkan kepada 50 pelajar sekolah agama.
   
Isteri Rais, Datin Seri Maznah Rais turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar perempuan sekolah agama.
   
Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin.
   
Dalam temuramah kemudian, Mufti Kemboja, Haji Kamaruddin Yusof mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut.
   
Beliau berkata program tersebut dapat membantu meningkatkan lagi talian siraturahim masyarakat Islam di kedua-dua negara itu.
   
"Program seumpama ini banyak mendatangkan faedah kepada penduduk tempatan dan membuka mata kepada dunia luar kerana amat jarang orang lain mengambil tahu nasib masyarakat di kampung ini," kata Arifin Mohd Noor.
   
Arifin, 27, seorang petani berkata rata-rata penduduk kampung itu bekerja sebagai pesawah padi dan buruh am dengan pendapatan antara US$200 dan US$800 (kira-kira RM600 dan RM2,400) setahun.

Guru agama Ustaz Taufik Muhammad, 44, pula berkata sumbangan yang diterima itu akan membolehkan mereka membeli buku dan kitab untuk pelajar sekolah agama.
   
Dalam pada itu, Penang Cop Bikers, kelab penunggang motosikal terdiri daripada anggota polis, menyertai program tersebut di Kampung Speu secara kebetulan dalam usaha mereka mengadakan ibadah Korban dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada penduduk di beberapa buah kampung berhampiran.
   
Timbalan presiden kelab itu, Mohd Fauzi Harun, 44, berkata mereka bermotosikal sejauh 2,000km dari Air Hitam, Pulau Pinang pada 23 Okt dan sampai ke ibu negara ini pada 25 Okt.
   
"Kedaifan infrastruktur di kawasan pendalaman di negara ini jelas kelihatan dalam perjalanan kami tersebut," katanya yang bertugas sebagai seorang detektif.
   
Rais, yang dalam rangka lawatan kerja ke negara ini sejak Rabu lepasan berakhir hari ini, sebelum ini turut menghadiri Mesyuarat Majlis Kommuniti Sosio-Budaya Asean, di sini.

sumber  - Bernama