Oleh Saifulizam Mohamad
KETIKA berjalan-jalan di pasar sehari
di Kampung Jumnik (Kampong Cham, Kemboja) sehari selepas kumpulan ekspedisi
Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) tiba di kampung itu, saya telah disapa oleh
seorang penduduk tempatan berusia sekitar 70-an.
Dengan riak muka yang begitu ceria dan
amat mesra dia kemudian bersungguh-sungguh mengajak saya datang ke rumahnya
untuk bersarapan dengan ahli keluarga yang lain.
Walaupun agak terkejut dengan pelawaan
itu namun saya mengambil keputusan menerima pelawaan Omar Dollah, 72 berasaskan
semangat saudara sesama Islam kerana itu jugalah yang dituntut oleh syariat.
Omar cuba berbual dengan saya tetapi
malangnya bahasa Melayu yang digunakan agak sukar difahami kerana dialek bahasa
Melayu Champanya begitu pekat.
Dia bertanyakan pelbagai soalan dan
saya berusaha menjawab sedaya upaya walaupun diakui sebahagian besar perkara
yang disoal amat sukar difahami.
Dalam perjalanan ke rumahnya Omar
sempat membeli kuih cekoi namun saya hairan apabila melihat kepingan wang
kertas rial (mata wang Kemboja) yang diberikan kepada penjual kuih tersebut
agak banyak.
Setiba di rumahnya saya diperkenalkan
dengan anak perempuannya, Khadijah, 26, isterinya, Hamidah Yusof, 65.
Komunikasi saya dan keluarga Omar
menjadi lebih mudah apabila Khadijah fasih berbahasa Melayu kerana dia sebelum
ini pernah tinggal di Kampung Payung, Kuala Terengganu bersama suaminya Ramli
Salleh, 32 untuk bekerja.
Omar dan anaknya mempelawa bersarapan
pagi dengan memberi saya hidangan tradisional masyarakat Melayu Champa iaitu
pecok atau dikenali dengan laksa Kemboja.
Semasa saya bersarapan Khadijah
menceritakan keadaan hidup kebanyakan orang Melayu Champa di Kemboja khususnya
di kampungnya iaitu Kampung Jumnik.
Khadijah yang kini sedang sarat
mengandung memberitahu keadaan hidup orang Melayu di sini jauh berbeza
berbanding orang Melayu di Malaysia.
Menurut Khadijah, hampir sebahagian
besar orang Melayu Kemboja hidup dalam keadaan miskin dengan purata pendapatan
sehari antara RM10-RM20. Mereka bekerja sebagai nelayan petani atau peniaga
kecil.
Keadaan yang menghimpit itu telah
mendorong sebahagian di kalangan anak-anak muda Melayu Kemboja berhijrah ke
Malaysia dan beberapa negara lain.
Khadijah memberitahu saya bagaimana
sukarnya mereka melalui kehidupan seharian di Kemboja memandangkan pekerjaan di
sini amat terhad.
Keadaan semakin menghimpit apabila
barangan keperluan asas seperti minyak petrol, minyak masak, gula, susu pekat
dan ikan amat mahal jika dibandingkan dengan pendapatan yang mereka perolehi.
Khadijah berkata, harga minyak petrol
di Kemboja adalah 5,000 rial (RM5) seliter, minyak masak 8,000 rial (RM8)
sekilogram, susu pekat kecil 3,000 rial (RM3) setin dan ikan 10,000 rial (RM10)
sekilogram.
Di Malaysia semuanya murah. Minyak masak di sana cuma
RM2.20 sekilogram. Minyak petrol seliter tidak sampai RM2. Susu pekat manis
hanay RM2.20 dan itu pun tinnya lebih tinggi. Di Kemboja lain, semua barang
mahal, kata Khadijah.
Namun begitu, apa pilihan mereka dan
mahu tidak mahu orang Melayu Kemboja perlu teruskan hidup walaupun dibebani
dengan faktor kemiskinan.
Saya juga diberitahu oleh Khadijah milo di Kemboja adalah teh tiga dalam satu dan bukannya
air coklat seperti di Malaysia.
Mujur jugalah katanya, suaminya, Ramli
dan abangnya, Ahmad, 32, masih bekerja di Terengganu bagi meningkatkan taraf
hidup mereka.
Suami dan abang saya ada mengirimkan wang untuk kami.
Tambahan pula emak dan ayah turut menjaga du orang anak abang, Rosdi Ahmad, 10
dan Amirah, 8. Mereka berdua sedang bersekolah dan amat memerlukan
perbelanjaan.
Saya pula hendak bersalin dan dijangka pada bulan
ini.Saya juga amat memerlukan perbelanjaan tambahan, ujarnya.
Ada satu perbuatan Hamidah, ibu kepada
Khadijah yang menggelikan hati saya apabila dia menunjukkan segumpal wang rial
jika hendak membeli gula sekilogram dan telatahnya itu menjawab persoalan
apabila melihat harga kuih cekoi dibeli oleh suaminya, Omar.
Sepuluh rial sama dengan sepuluh sen duit Malaysia dan ia
dicetak dengan wang kertas. Jika harga sekilogram 4,000 rial berapa keping wang
kertas 10 rial terpaksa digunakan melainkan terdapat nilai lebih besar, kata Khadijah.
Bagaimanapun di sebalik kemiskinan
yang membelenggu orang Melayu di Kemboja mereka mempunyai budi bahasa dan
akhlak yang amat tinggi antaranya mereka amat memuliakan tetamu.
Mereka bersungguh-sungguh meminta saya
menjamah setiap makanan yang dihidangkan.
Apa yang lebih penting, pengalaman
bertemu Omar sekeluarga tidak sampai dua jam itu amat menginsafkan apatah lagi
pemerhatian saya secara keseluruhan terhadap kehidupan orang Melayu di Kemboja
selama tiga hari JWJ2 mengembara di negara itu.
Kepada rakyat Malaysia, mungkin
catatan pengalaman ini tidak berbekas namun ingatlah tidak rugi menjadi seorang
yang bersyukur terhadap segala kurniaan Allah.
Insaflah, bumi Malaysia yang kita
duduki selama ini begitu aman dan makmur berbanding negara-negara lain. Oleh
itu, pertahankanlah kemakmuran dan keamanan ini dengan segala kudrat serta
tenaga yang ada.
SUMBER :UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment