Friday, December 21, 2012

Bahagia di perantauan


Bahagia di perantauan

Oleh ROSYAHAIDA ABDULLAH
rosyahaida@hmetro.com.my
SUMBER REZEKI...perniagaan kecil-kecilan antara aktiviti kebanyakan masyarakat Melayu Cham di kampung itu.
SUMBER REZEKI...perniagaan kecil-kecilan antara aktiviti kebanyakan masyarakat Melayu Cham di kampung itu.
SEKALI imbas, mereka tiada bezanya dengan masyarakat Melayu di Malaysia sama ada di segi rupa mahupun gaya berpakaian, semuanya seakan sama apatah lagi penampilan bertudung oleh kaum wanitanya seolah-olah etnik Melayu.
Namun, persepsi awal ini pasti berubah sebaik mendengar pertuturan sesama mereka yang sama sekali janggal tetapi unik terutama bagi sesiapa yang belum pernah mengenali atau berkomunikasi dengan golongan berkenaan.
Itulah masyarakat Melayu Champa (Cham) dari Kemboja yang menetap di negara ini. Dengan masyarakat tempatan, penggunaan bahasa Melayu menjadi pengantara untuk berkomunikasi, namun bahasa Kemboja tetap menjadi pilihan ketika berbual sesama mereka.

Penghijrahan Melayu Cham dari Kemboja ke Malaysia sejak awal 1980-an mungkin tidak begitu diketahui umum menyebabkan ada sesetengah pihak menyangka kumpulan terbabit sebagai pendatang asing tanpa izin.


Mana tidaknya, penempatan mereka yang lebih terarah untuk tinggal dalam kelompok sendiri seolah-olah menunjukkan mereka datang ke negara ini tanpa mengikut saluran betul.

Hakikatnya, sebahagian besar komuniti ini sudah mendapat taraf penduduk tetap (PR), sekali gus menjadikan anak mereka yang dilahirkan di sini diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Difahamkan, penghijrahan mereka ke negara ini terjadi ketika pergolakan berlaku di Kemboja pada zaman pemerintahan parti komunis diterajui Pol Pot selaku Perdana Menteri bersama tentera Khmer Rouge antara 1976 hingga 1978.

Pemerintahan itu berlaku selepas gerila Khmer Rouge merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Lol Nol pada 1975.

Bermatlamat membendung kapitalisme dengan memindahkan semua warga kota ke kawasan luar bandar, kemunduran mula tercetus kerana makanan dan pelajaran digerakkan secara berkelompok yang seterusnya mengakibatkan kebuluran.

Kebanyakan rakyat Kemboja ketika itu ibarat menanti hari mati malah mayat boleh dilihat bergelimpangan di sana sini. Pihak yang menentang khususnya, akan dibunuh. Wang dan nyawa sudah tiada nilai.

Penduduk kampung dipukul hingga mati dengan mata cangkul, direndam dalam kolam sebelum ditembak di kepala malah ada juga ditanam hidup-hidup. Penderitaan dilalui rakyat Kemboja khususnya penganut Islam ketika itu adalah kehidupan yang cukup getir.

Insiden itu menyebabkan ramai rakyat negara anggota Asean berkenaan terbunuh secara kejam. Bayangkan, pada 1975 saja, satu per empat daripada lapan juta penduduk Kemboja mati dibunuh gerila Khmer Rouge.

Bagi mereka yang masih terselamat, tindakan melarikan diri ke negara jiran termasuk Thailand dan Vietnam diambil kerana tidak sanggup menjadi mangsa kekejaman rejim Pol Pot.

Pelarian ini kemudian diselamatkan beberapa negara yang menawarkan perlindungan antaranya Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Indonesia dan Malaysia.

Kini, kehidupan masyarakat Kemboja di Malaysia lebih terjamin serta harmoni dan itulah juga keadaan yang diharapkan mereka tatkala menyusuri hidup di negara ini.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09



HARIAN METRO  

1 comment:

Sebuah Istana Cerita said...

Pada bulan Disember 2012 yang lalu, saya telah melawat Kemboja dan tinggal bersama komuniti Cham di Phnom Penh dan Kompong Thom. Catatan tentang itu ada saya muatkan dalam laman blog saya. Mungkin boleh dikongsikan di sini sebagai bahan bacaan yang baru.

Ceritanya boleh dilihat di sini: http://ilzafmenulis.blogspot.com/2013/01/kembara-kemboja-phnom-penh.html