Friday, December 21, 2012

Perancangan terperinci keluarkan Melayu Cham dari belenggu kemiskinan

Kementerian Hal Ehwal Islam Kemboja sedia kemudahan asas bagi pertingkatkan lagi taraf sosioekonomi penduduk minoriti Muslim 


PERANCANGAN terperinci disusun untuk komuniti 500,000 penduduk Melayu Cam di Kemboja membabitkan dakwah, pendidikan, kesihatan, ekonomi serta penyediaan kemudahan asas untuk menggerakkan transformasi sosioekonomi etnik minoriti Islam itu. 


Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Kemboja, Dr Sos Mousine, berkata kalau mereka berterusan menunggu bantuan luar seperti sekarang maka segala keperluan sendiri tidak mampu dipenuhi selama-lamanya sekali gus mengekalkan komuniti itu dalam keadaan miskin serta tidak berpendidikan. 

“Yang sangat penting sekarang adalah pendidikan bermula peringkat rendah. Ia mampu mengubah kehidupan sekeluarga dan seluruh komuniti pada masa depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Preah Sisowath Quay, Phnom Penh. 

Beliau mengambil contoh komuniti Cina datang ke Kemboja kira-kira 40 tahun lalu dalam keadaan lebih miskin daripada penduduk Kemboja. 

“Tetapi bagaimana sekarang mereka menjadi orang yang sangat kaya? Mereka hanya menanam sayur, tetapi boleh menjualnya dan memperoleh wang . Mereka kemudian membina rumah yang baik dan mampu membiayai persekolahan anak dalam jurusan profesional atau kemahiran tinggi lain. 
“Jadi apa yang kami fikir ialah jika kami terus menunggu bantuan luar, maka kita gagal memenuhi keperluan sendiri. Sebab itu, diri dan komuniti Melayu Cam perlu membina serta menyediakan sendiri keperluan itu. Kita boleh mengharapkan idea dan bantuan material dari luar. Inilah pemikiran dan strategi untuk komuniti Islam di negara ini,” katanya. 

Majoriti penduduk Kemboja iaitu 95 peratus adalah beragama Buddha dan empat peratus lagi menganut Islam. Mereka hidup harmoni dan penuh toleransi. 

Ketika ini, semua kampung ada masjid atau surau atau kedua-duanya. Ada 280 masjid, 370 surau dan 200 sekolah agama di seluruh negara. Mereka memerlukan antara 80 hingga 90 masjid lagi selain 100 sekolah agama. Ada setengah kampung memerlukan sebuah atau dua bilik darjah tertakluk kepada keperluan. 

Dr Mousine berkata, 85 peratus penduduk Melayu Cam di luar bandar adalah petani dan nelayan yang tertumpu ke kawasan pinggir Sungai Mekong dan Tasik Tonle Sap serta tanah pamah di bahagian tengah negara itu. Kira-kira 10 hingga 15 peratus lagi peniaga kecil, kakitangan kerajaan, pekerja kilang dan menyertai sektor perkhidmatan. 

Beliau berkata, tindakan kementeriannya dalam tempoh 15 tahun lalu ialah meminta ibu bapa menghantar sekurang-kurangnya seorang anak mereka ke sekolah. Malangnya, masih ramai ibu bapa tidak berkemampuan menghantar anak ke sekolah kerana sara hidup setakat cukup untuk makan. 

“Kami turut mencari penaja dari dalam dan luar negara untuk memberi biasiswa kepada pelajar berkelayakan. Kami juga membina asrama untuk menampung kira-kira 60 pelajar perempuan untuk menamatkan pelajaran peringkat tinggi. Mereka sangat bersemangat, memakai hijab dan bakal memainkan peranan penting dalam masyarakat,” katanya sambil memberitahu reka bentuk asrama pelajar lelaki sedang disiapkan. 

Pihaknya melalui jawatankuasa khas juga sedang menyiapkan pelan induk pembinaan Pusat Islam Phnom Penh. Projek itu untuk menyelaraskan pelan induk pembangunan Islam di negara itu. Selain masjid dan kolej pengajian, kompleks itu mengandungi lot perniagaan dan beli-belah bagi menjana pendapatan. Ia dijangka siap empat atau lima tahun lagi. 

Pusat Islam lebih kecil turut dibina di beberapa wilayah dengan sokongan kerajaan luar seperti Malaysia dan negara Arab. 

Kemboja turut mempunyai 20 sekolah agama yang diiktiraf kerajaan Kelantan dan Universiti Al-Azhar. 

Beliau berkata, selepas kerajaan Khmer Rouge pimpinan Pol Pot tumbang pada 7 Januari 1979, saki-baki penduduk etnik Melayu Cam yang tahu membaca diminta mengajar kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. 

“Ada yang tahu solat diminta mengajar kanak-kanak bersolat. Ada kampung menghantar seorang penduduknya belajar selama enam bulan atau setahun di kampung lain. Mereka kemudian balik semula untuk mengajar kanak-kanak kampungnya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada yang tahu mengimamkan solat jemaah dan mengajar membaca al-Quran. 

“Daripada belajar agama di bawah rumah, kemudian terbina madrasah, surau dan akhirnya masjid di kebanyakan kampung utama sekali gus syiar Islam kian memancar dalam 22 wilayah bumi Kemboja,” katanya. 

Namun, satu lagi masalah yang membelenggu komuniti Melayu Cam ialah kesihatan. Antaranya, kadar kematian bayi dan ibu ketika bersalin selain kekurangan zat, ancaman penyakit serta kebuluran. 

“Nenek saya juga antara yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Ramai ibu Melayu Cam yang melahirkan anak di rumah secara tradisional. Alhamdulillah, kini ada 50 pegawai perubatan termasuk doktor dan jururawat Melayu Cam yang memberi perkhidmatan klinik bergerak di seluruh negara. Pembelajaran mereka dibiayai oleh Bank Pembangunan Islam. 

“Mereka pergi ke kampung dan pedalaman untuk mengajar penduduk mengenai pelbagai aspek kesihatan. Ibu mengandung juga diajar cara untuk menjaga kesihatan diri dan kandungan seperti mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat,” katanya. 

Antara kekangan sekarang ialah, ibu mengandung enggan mendapatkan khidmat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor lelaki kerana malu atau anggapan itu bertentangan dengan syariah. 

“Justeru, kami merancang membina sekurang-kurangnya satu Klinik Komuniti Muslim di Kompong Cham, Kompot Chhnang dan Kampot. Dengan ada hospital dan klinik seperti ini, diharap komuniti Melayu Cam akan lebih faham mengenai isu kesihatan,” katanya. 

Dari segi kemahiran, etnik Melayu Cam sangat ketinggalan kerana mereka tiada pendidikan. “Kalau belajar pun setakat sekolah rendah dan mereka kemudian berkahwin,” katanya. 

Justeru, ada skim latihan menjahit dilancarkan untuk wanita bagi membolehkan mereka sekurang-kurangnya membuka bengkel jahitan kecil-kecilan di rumah untuk meningkatkan pendapatan keluarga. 

Skim pinjaman kredit mikro juga disediakan sebagai modal penduduk berniaga kecil-kecilan. 

Telaga juga dibina di semua kampung bagi menjamin penduduk memperoleh bekalan air lebih bersih berbanding bekalan air dari sungai atau tasik yang bercampur sisa najis. 

“Kerajaan merancang membekalkan elektrik ke kawasan lebih jauh di luar bandar dalam masa empat atau lima tahun ini, tetapi tidak berupaya melakukan untuk bekalan air. Sebab itu, turut kami rancang membina telaga di kawasan tanah tinggi dan kawasan terpencil. 

Menjelang Ramadan ini, katanya, rata-rata penduduk etnik Melayu Cam tidak cukup makanan apatah lagi persiapan menyambut Aidilfitri. 

“Sebab itu, kami sentiasa membimbing mereka bagaimana mencari kerja dan memperoleh pendapatan. Kami juga terus menasihati ibu bapa menghantar anak ke sekolah. Jangan lagi buang masa dan ibu bapa terus dibelenggu kemiskinan,” katanya.

sumber : BERITA HARIAN 

No comments: