Saturday, October 27, 2012

Kemboja tumpuan ibadah korban


AMALAN melakukan ibadah korban di luar negara dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara negara yang sering menjadi tumpuan warga Malaysia termasuk Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Laos dan India.
Ibadah itu bukan sahaja cenderung dilakukan oleh individu malah institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), badan kerajaan atau korporat juga terbabit.
Pada masa sama, kumpulan terbabit terutamanya pelajar IPT turut mengambil kesempatan melakukan program khidmat masyarakat bagi membantu penduduk Islam yang miskin.
Sambutan menggalakkan
Sebuah syarikat yang menguruskan ibadah korban dan akikah di luar negara, EZ Qurban Sdn. Bhd. turut mengakui bahawa khidmat melakukan ibadah korban di luar negara terutamanya Kemboja mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di negara ini.
Sejak ditubuhkan pada 2007 itu, syarikat yang beribu pejabat di Batu Caves, Selangor itu menyedari bilangan lembu yang dikorbankan meningkat sekali ganda setiap tahun.
Pengurusnya, Mohd. Faizal Eshak berkata, pada tahun ini syarikat tersebut menyasarkan sehingga 5,000 binatang untuk dikorban di luar negara dengan satu bahagian lembu berharga RM280.
“Kita mempunyai cawangan di Phnom Penh, Kemboja yang bertanggungjawab menguruskan pelaksanaan dan pengagihan daging lembu di setiap kampung terpilih.

SELAIN ibadah korban, program khidmat masyarakat turut dilakukan pihak tertentu bagi membantu penduduk di Kemboja.


“Peserta pula akan diberikan sijil penyertaan dan boleh juga mengikuti rombongan bagi menyaksikan ibadah tersebut dijalankan pada kadar bayaran RM1,750 termasuk tiket penerbangan dan penginapan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sebuah lagi syarikat, Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. yang menguruskan ibadah korban di Kemboja turut menerima sambutan hangat daripada para pelanggannya.
Urus setia syarikat berkenaan, Fadhlatullah Zakaryya berkata, tahun ini masuk kali ke-19 syarikat tersebut menjalankan ibadah korban di Kemboja dan bilangan binatang yang dikorbankan turut meningkat setiap tahun.
Menurutnya, pada awal perlaksanaan program ini cuma 17 ekor dikorbankan berbanding dua ekor tahun lalu dengan jumlahnya meningkat kepada 3,255 ekor.
Harganya juga jauh lebih murah iaitu RM270 untuk satu bahagian lembu atau RM530 untuk seekor kambing. Sijil penyertaan disahkan oleh pengerusi program dan mufti kerajaan Kemboja.
Jelasnya, pemilihan tempat ibadah korban pula dilakukan di kawasan yang mempunyai jumlah umat Islam miskin paling ramai seperti masyarakat Melayu Champa yang merupakan kaum minoriti dengan jumlah penduduk 500,000 daripada 13 juta rakyat Kemboja.

AMALAN melakukan ibadah korban di Kemboja semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.


Pendekatan berbeza
Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula mempunyai pendekatan yang berbeza dengan melaksanakan program khidmat masyarakat bersama penduduk tempatan.
Pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu, Kampung Chhnang, Kemboja dipilih sebagai lokasi program ibadah korban dan khatan.
Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr. Ismail Ahmed berkata, program itu bertujuan membantu umat Islam yang fakir miskin.
Menurutnya, selain ibadah korban, pusat terbabit mengadakan program berkhatan beramai-ramai selama tiga hari membabitkan lebih 100 kanak-kanak secara percuma.
“Di samping itu, UTM menerusi Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air akan mengadakan program merawat air tercemar untuk membekalkan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan.
“Tiga tahun lalu, UTM juga mengadakan program korban, berkhatan dan menggali perigi pam untuk membekalkan air bersih bagi kegunaan penduduk Kampung Chhnang,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
sumber : KOSMO

1 comment:

Rod said...

Alhamdulillah ada juga yg masih bersimpati dan bermurah hati terhadap bangsa saya yg berada disana..kami dari Malaysia sentiasa mendoakan kesejahteraan umat islam keseluruhannya...