Saturday, October 27, 2012

Rais hadir Program Silaturahim Malaysia-Kemboja

PHNOM PENH - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini menghadiri Program Siraturahim Budaya Serumpun Malaysia-Kemboja di Kampung Speu, Chom Kaalee, 170km dari sini.
   
Program itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di kampung yang mempunyai penduduk Melayu Islam seramai 2,000 orang.
   
Rais dalam ucapan di majlis itu berharap budaya masyarakat Melayu Champa di negara ini akan dapat terus bangkit dan dipertonjolkan.
   
Dalam memperkenalkan kebudayaan Melayu Malaysia kepada masyarakat Melayu di negara ini, beliau berkata Pejabat Jabatan Kebudayaan akan mengadakan pertunjukan kebudayaan di negara ini tidak lama lagi.
   
Ia bagi memperkenalkan muzik, lagu, pantun, perumpamaan, peribahasa dan seloka Melayu Malaysia, katanya.
   
Rais berkata rakyat Malaysia ada kaitan dengan orang Melayu di Kampung Cham di sini melalui perkahwinan dan perdagangan.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Masjid Kampung Speu, RM12,000 kepada enam buah surau di sekitar sini serta sumbangan RM5,000 juga diagihkan kepada 50 pelajar sekolah agama.
   
Isteri Rais, Datin Seri Maznah Rais turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar perempuan sekolah agama.
   
Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin.
   
Dalam temuramah kemudian, Mufti Kemboja, Haji Kamaruddin Yusof mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut.
   
Beliau berkata program tersebut dapat membantu meningkatkan lagi talian siraturahim masyarakat Islam di kedua-dua negara itu.
   
"Program seumpama ini banyak mendatangkan faedah kepada penduduk tempatan dan membuka mata kepada dunia luar kerana amat jarang orang lain mengambil tahu nasib masyarakat di kampung ini," kata Arifin Mohd Noor.
   
Arifin, 27, seorang petani berkata rata-rata penduduk kampung itu bekerja sebagai pesawah padi dan buruh am dengan pendapatan antara US$200 dan US$800 (kira-kira RM600 dan RM2,400) setahun.

Guru agama Ustaz Taufik Muhammad, 44, pula berkata sumbangan yang diterima itu akan membolehkan mereka membeli buku dan kitab untuk pelajar sekolah agama.
   
Dalam pada itu, Penang Cop Bikers, kelab penunggang motosikal terdiri daripada anggota polis, menyertai program tersebut di Kampung Speu secara kebetulan dalam usaha mereka mengadakan ibadah Korban dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada penduduk di beberapa buah kampung berhampiran.
   
Timbalan presiden kelab itu, Mohd Fauzi Harun, 44, berkata mereka bermotosikal sejauh 2,000km dari Air Hitam, Pulau Pinang pada 23 Okt dan sampai ke ibu negara ini pada 25 Okt.
   
"Kedaifan infrastruktur di kawasan pendalaman di negara ini jelas kelihatan dalam perjalanan kami tersebut," katanya yang bertugas sebagai seorang detektif.
   
Rais, yang dalam rangka lawatan kerja ke negara ini sejak Rabu lepasan berakhir hari ini, sebelum ini turut menghadiri Mesyuarat Majlis Kommuniti Sosio-Budaya Asean, di sini.

sumber  - Bernama

No comments: