Saturday, June 29, 2013

Budaya Melayu Cham dapat perhatian pengkaji

APAKAH skop kajian Mohamad Zain Musa?

Skop kajian saya mengenai sejarah masyarakat Melayu Champ di Kemboja,Vietnam dan Laos pada abad ke-17 hingga ke-19 dengan penumpuan terhadap pasca rejim Khmer Rouge, iaitu selepas 1979. Kajian saya juga membabitkan perkembangan masyarakat Melayu Champ sebagai pendatang ke negara ini.

Saya turut merancang untuk memperluaskan skop sempadan dengan mengambil kira kedudukan Melayu Champ yang berhijrah ke Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis dan Jepun. 

Bagaimanakah kedudukan sosiobudaya Melayu Champ di Indochina?

Sebagai kaum minoriti, mereka berhadapan dengan masalah kemampuan ekonomi untuk mempertahankan sosiobudaya. Bagaimanapun, mereka masih boleh mempertahankan identiti berdasarkan faktor agama Islam yang membezakan mereka dengan masyarakat majoriti.

Bagaimanakah kedudukan bahasa Melayu di wilayah berkenaan? 

Kita harus membezakan antara masyarakat Champ dengan Melayu Champ yang berasal daripada rumpun Melayu. Perkembangan bahasa Melayu di kalangan Melayu Champ dibantu oleh faktor kedatangan mereka ke Malaysia untuk bekerja dan pulang ke negara asal. Bahasa Melayu Champ bersifat mudah dan ada pengkaji yang menyimpulkan kira-kira 60 hingga 70 peratus kosa kata bahasa itu sama dengan bahasa Melayu seperti anggota badan serta nombor. Bahasa Melayu Champ sebenarnya lebih mudah kerana tidak mempunyai banyak imbuhan. 

Apakah jenis sastera yang ada?  

Mereka mempunyai sastera lisan saja. Pada 2002, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghantar saya untuk mengumpulkan sastera lisan di kalangan masyarakat Melayu Champ. Saya berjaya mengumpulkan sastera rakyat Melayu Champ di Kemboja dan Laos manakala sastera berkenaan di Vietnam diserahkan kepada pihak lain. Hasil himpunan itu terkandung dalam buku sastera rakyat dalam konteks dunia Melayu yang bakal diterbitkan DBP tidak lama lagi. Sastera bertulis yang masih ada hanya beberapa salinan manuskrip lama, termasuk yang dibawa pulang penjajah Perancis ke negara mereka.
Apakah sastera rakyat yang berjaya dikumpulkan?  

Pihak kami berjaya mengumpulkan kira-kira 20 kisah rakyat berbentuk cerita haiwan dan manusia selain cerita jenaka yang mempunyai unsur lucah. Antara kisah haiwan yang terkandung dalam sastera rakyat Melayu Champ ialah kisah kura-kura yang terbang bersama-sama helang manakala cerita manusia ialah orang biasa yang menyimpan cita-cita mengahwiniPuteri Raja.
Mengapakah tidak ada sastera bertulis di kalangan Melayu Champ? 
Masalah kemiskinan yang biasa dihadapi kaum minoriti di sesebuah negaramenyebabkan perkembangan bahasa dan sastera bertulis terhalang walaupun kerajaan mereka tidak menyekat proses pembelajaran bahasa Melayu Champ. Pendidikan ialah pelaburan yang tidak membawa pulangan berbentuk material, sebaliknya keuntungan berbentuk perkembangan minda dan intelektual. Bahasa Melayu Champ boleh berkembang dengan lebih mudah dalam tulisan Jawi tetapi pengamalnya berhadapan dengan masalah piawaian apabila membabitkan bahasa pinjaman. Contohnya pengamal tulisan Jawi dalam bahasa itu yang berasal dari Kemboja sukar memahami tulisan jawi masyarakat Melayu Champ di Vietnam kerana pe ngaruh bahasa tempatan.

Apakah bentuk sistem pendidikan yang diterima masyarakat Melayu Champ? 
Ada dua bentuk, iaitu sistem pendidikan kebangsaan yang moden dan sistem pendidikan pondok. Sistem pondok dilaksanakan secara tradisional dengan pelajar ke rumah tuan guru ketika cuti panjang selama tiga bulan.

Sebahagian tuan guru yang mengajar ialah lepasan sistem pondok di Kelantan dan Kedah. Pendidikan agama seperti tafsir al-Quran, hadis dan fiqh turut diajar melalui kelas fardu ain antara waktu Maghrib dan Isyak berdasarkan kemampuan tuan guru.

Apakah masa depan bahasa dan budaya masyarakat Melayu Champ? 

Bahasa mungkin sukar untuk dimajukan kecuali Melayu dari negara lain termasuk Malaysia mempunyai dasar konkrit untuk membantu mereka. Masalahnya, bantuan negara luar mungkin menimbulkan salah faham daripada kerajaan wilayah terbabit. Dari segi sejarah, masyarakat Melayu Champ pernah menguasai sebahagian besar wilayah di Vietnam sebagai pemilik tanah. Oleh itu, keutamaan kita ialah membantu mereka dalam soal agama dan akidah, sekali gus dapat mempertahankan budaya mereka.
Profil
Nama:Mohamad Zain Musa
Tarikh lahir:15 Oktober 1951
Tempat lahir:Phnom Penh, Kemboja
Pendidikan:Sarjana Muda (Fizik) di Universiti Phnom Penh, Kemboja dan Sarjana (Sejarah) di Universiti Sorbonne, Perancis.
Buku:
Masyarakat Cham Sepanjang Zaman terbitan Ikatan Ahli Arkeologi  Malaysia (IAAM) dan Tinjauan Baru Politik Malaysia terbitan Penerbit UKM

 (Sumber : Berita Harian   (03/01/2006) )


No comments: