Saturday, June 29, 2013

Umat Islam Kemboja miskin tegar

KELIHATAN dari jauh sekumpulan wanita bertudung litup dan sebahagiannya menutup wajah kami sewaktu sampai di perkampu­ngan Suwaipak, Pursat, Kemboja.
Si kecil pula berwajah cengkung, berbadan kurus dan sayu mula menggamit perasaan tat­kala kanak-kanak Cham ini menghulurkan tangan memohon simpati.
Sesudah Isyak, kami dihidangkan dengan pel­bagai makanan, namun penulis akui mereka masih memerlukan bantuan.

Bukan tidak mensyukuri nikmat yang disediakan tetapi hakikatnya mereka bersusah payah dan sanggup menyediakan pelbagai juadah walaupun dalam serba kekurangan.
Foto
KANAK-KANAK kaum Jahid seronok menerima pemberian wang KHR10,000.

Terfikir, bagaimana nasib mereka ini yang tidak berpendidikan dan serba kekurangan meneruskan hidup di sebalik ekonomi yang semakin menghimpit.

Rata-rata, penduduk di Suwaipak hanya menerima pendidikan asas manakala yang bernasib baik dapat melanjutkan pelajaran sehingga habis sekolah rendah.

Mereka yang berpendapatan sederhana mungkin sempat menghadiri sekolah menengah, namun belum tentu melangkah ke menara gading.

Hanya yang mempunyai pendapatan tetap mampu menghantar anak-anak belajar hingga ke universiti.

Kesukaran itu membuat­kan ramai yang bergelar petani manakala wanita sebagai suri rumah atau me­ngambil upah menjahit baju.

Hidup yang diibaratkan kais pagi makan pagi itu memaksa pemuda dan pemudi di pedalaman Pursat berhijrah ke bandar Pursat atau ke bandar raya Phnom Penh.

Jika ada wang lebih, mereka menaiki bas sejauh 2,034 kilometer atau bersusah payah menyeberangi Laut China Selatan untuk sampai ke Malaysia.

Namun, mereka perlu menempuhi pelbagai halangan untuk menyiapkan pasport dan visa selain ditipu ejen pekerjaan yang menjanjikan seribu satu kesenangan.

Pemerintahan kuku besi rejim Pol Pot meninggal­kan memori hitam dalam hidup umat Islam di Kemboja.

Selain dipinggirkan, mereka hidup dalam kemiskinan tegar dan memerlukan bantuan umat Islam di negara lain bagi membantu kehidupan mereka.

Justeru, inisiatif terbabit bukanlah pertama kali dilakukan kerana sejak 2007, Yayasan Ar-Raudah ba­nyak menghulurkan pelbagai bantuan terutama sewaktu tibanya Ramadan dan Aidiladha.

Kedatangan rombongan sukarelawan media tajaan BIT Group Sdn Bhd turut mengiringi siswa daripada Asasi Sains Pertanian (ASPeR), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ilmu yang dimiliki 30 mahasiswa digunakan untuk membantu penduduk mengenai teknologi dan pengetahuan dalam bidang pertanian, pendidikan dan kesihatan, sekali gus dapat mening­katkan taraf hidup penduduk.

Profesor Dr Jambari Ali berkata, projek pertanian membabitkan membuat baja kompos yang boleh dieks­trak daripada sisa dapur, najis haiwan dan jerami.

“Jika dilihat di kampung ini, kebanyakan bahan terbabit hanya dibuang tanpa digunakan kembali untuk me­nyuburkan tanaman.

“Dengan pengetahuan yang dibawa, UPM mendidik penduduk mengguna pakai bahan selain teknik tanaman kontan yang dapat menaik taraf ekonomi penduduk,” kata­nya.

Selain itu, pendidikan tidak formal seperti kelas bahasa Inggeris dan penjagaan kesihatan gigi kanak-kanak diperkenalkan, selain memberi peluang kepada warga emas melakukan pemeriksaan kesihatan.

Tidak terhenti di situ saja, Yayasan Ar-Raudah turut menghulurkan sumbangan RM10,000 kepada 220 keluarga di Suwaipak sebelum bergerak ke perkampungan Kauntnoat yang didiami bangsa Jahid.

Tiba di kampung Kauntnoat, penulis dikejutkan pula dengan suasana kampung yang lebih daif.

Berpakaian koyak, tanpa selipar dan rambut yang tidak terurus, mereka memandang rombongan media dengan penuh persoalan, namun penuh senyuman apabila disuapkan makanan.

Begitulah keletah kanak-kanak yang suka bergambar sewaktu penulis meneliti setiap rakaman di kamera.

Apabila dihulurkan sekeping biskut, pasti yang lain datang menyusul mengerumuni penulis yang tidak cukup tangan melayan keletah mereka.

Tiga tahun lalu, sewaktu Yayasan Ar-Raudah memulakan misinya di sini, masyarakat Jahid masih terumbang-ambing dengan tiga peratus saja berpegang kepada agama Islam.

Mereka mengaku Muslim, namun tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam kerana masih meng­amalkan cara hidup kafir, memakan makanan haram dan mengerjakan solat ha­nya sekali seminggu iaitu solat Jumaat.

Justeru, Yayasan Ar-Raudah terpanggil untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada penduduk Kampung Kauntnoat untuk membantu mereka dari segi sosioekonomi, taraf hidup selain memperbetulkan pegangan mereka.

Pengarah Urusan­nya, Mohamed Hasbi Yaacob berkata, 60 peratus penduduk Jahid beragama Islam, namun usaha berterusan perlu dibuat agar mereka tidak kembali kepada hidup yang lalu.

“Pada 2011 lalu, Yayasan Ar-Raudah melakukan korban membabitkan 10 kampung termasuk kampung Kauntnoat. Masyarakat di sini memerlukan bantuan kerana mereka masih tidak sepenuhnya menjadi seorang Muslim.

“Justeru, kali ini kami fokus memberi bantuan untuk membina sebuah telaga, memberi pakaian dan makanan menjelang Ramadan serta derma RM20,000 daripada surau Madani di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Yayasan akan turut menggajikan seorang guru dan imam bagi memudahkan urusan ibadat.

“Pembinaan telaga itu diharap mengurangkan beban penduduk kerana mereka tinggal di kawasan yang kering dan bergantung kepada air hujan selain mengambil air di telaga lain sejauh 400 hingga 500 meter.

“Usaha ketiga ini menampakkan hasil apabila penduduk memahami dan mengalu-alukan kedatangan rombongan dari Malaysia.

“Saya pasti, meskipun kaum ini tidak tahu berbahasa Inggeris, Melayu atau Champ, riak wajah mereka menyatakan kesyukuran dengan kehadiran rombongan dari Malaysia yang nyata tidak putus membantu orang Islam di sini,” katanya

Jauh di hati penulis, masyarakat di Malaysia seharusnya bersyukur kerana tinggal di negara yang aman, mampu hidup mewah dan mudah mendapatkan ilmu pendidikan berbanding 
ma­syarakat di sini.


INFO:
  • Kemboja yang turut dikenali sebagai Kampuchea berkeluasan 181,035 kilometer persegi.
  • Ibu negaranya Phnom Penh.
  • Bahasa rasminya Khmer.
  • Lima bangsa mendiami negara itu iaitu Khmer (86.3%), Vietnam (5.0%), Cina (4.7%), Cham (1.5%) dan lain-lain (2.5%).
  • Populasi penduduk pada 2008 seramai 13,388,910 orang dan meningkat seramai 14,952,665 orang pada 2010.
  • Mata wang yang digunakan adalah Riela (KHR) namun untuk urusan jual beli di bandar, mereka lebih suka menggunakan dolar (USD).
  • Pursat salah satu negeri dengan keluasan 12,692 kilometer persegi dan 397,107 orang penduduk.
  • Penduduk di kampung dan pedalaman bergantung kepada hasil pertanian. Sebahagian lagi bekerja di kilang di pusat bandar atau merantau sehingga ke Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
  • Industri pelancongan menjana ekonomi penduduk setempat kerana memiliki tempat menarik seperti Siem Reap, Sihanoukville, Kampot, Kep dan Bokor Hill Station.

    http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UmatIslamKembojamiskintegar//Article/index_html
  • No comments: