Saturday, June 29, 2013

Ulama, guru agama dibunuh

MASYARAKAT Islam Kemboja yang lebih dikenali etnik Champa sudah bertapak di negara itu sejak ratusan tahun lalu.
Pergolakan, perang saudara, penjajahan dan ketidakstabilan politik menyebabkan ramai daripada mereka menjadi pelarian termasuk ke Malaysia.
Sepanjang penguasaan Regim Demokratik Kampuchea (DK) antara 1975 hingga 1979 yang dipimpin Pol-Pot dan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Kampuchea, ia mening­galkan sejarah hitam dalam sosiopolitik negara itu.

Dalam tempoh tiga tahun lapan bulan dan 20 hari pemerintahan Pol-Pot, lebih sejuta orang terkorban bahkan ada catatan mendakwa kira-kira tiga juta jiwa melayang.

Baki enam juta penduduk Kemboja yang terselamat, mereka dihantui kekejaman pemerintahan Pol-Pot selain mewarisi kemiskinan, menjadikan Kemboja ketinggalan 30 tahun di belakang dalam pembangunan berbanding negara lain di rantau itu.

Sepanjang tempoh pemerintahan Pol-Pot, ramai etnik Cham terkorban malah lebih 200 ulama dan guru agama dibunuh sepanjang pemerintahan kejam mereka.

Mufti Kemboja, Kamaruddin Yusof berkata, sebelum Khmer Rouge menguasai Kemboja, orang Islam Cham meliputi 10 peratus atau 700,000 daripada tujuh juta penduduk Kemboja.

Bagaimanapun, katanya selepas kejatuhan Khmer Rouge pada 1979, hanya 200,000 etnik Cham masih hidup.

“Justeru, daripada dua juta rakyat kemboja yang terbunuh, 400,000 hingga 500,000 daripadanya etnik Cham.

“Pol-Pot amat membenci agama kerana dasar komunis yang tidak mempercayai Tuhan me­nyebabkan umat Islam Cham menjadi sasaran pembunuhan.

“Saya sendiri mengikut giliran akan dibunuh tentera Pol-Pot pada 1979, namun alhamdulillah umur masih panjang kerana Khmer Rouge diguling­kan pada tahun itu.

“Namun, saya tidak menafikan trauma kekejaman manusia berhati binatang itu masih menghantui kami termasuk saya sendiri,” katanya.

Khmer Rouge mahu menghapuskan kepercayaan beragama di kalangan etnik Islam Cham. Mana-mana pemimpin Islam yang mempunyai pengaruh di kalangan masyarakat seperti guru agama atau imam akan dibunuh.

Solat, berpuasa, zakat dan perayaan Islam dilarang sama sekali, bahkan al-Quran, kitab agama dan peralatan ibadah seperti kain sarung, kain telekung bagi perempuan dirampas dan dibakar. Mereka juga dipaksa memakan daging babi dan wanita Islam dilarang bertudung.

Sebahagian orang Islam Cham terpaksa patuh kepada arahan itu bagi mengelak menjadi mangsa pembunuhan atau diseksa.

“Untuk menghilangkan identiti Muslim Cham, pemimpin Khmer Rouge menghalang pengunaan nama yang biasa digunakan masyarakat Islam Cham.

“Mereka dipaksa mengunakan gaya nama Khmer dan dilarang bertutur bahasa Cham.

“Mana-mana etnik itu yang mengunakan bahasa Cham akan dibunuh. Akibatnya, selepas era Khmer Rouge pada 1979, generasi baru etnik Cham tidak tahu bertutur dalam bahasa Cham,” katanya.

Hari ini, keturunan Cham di Wilayah Kompot, Sihanoukville, Kampong Luong di Wilayah Kandal dan Chrang Chamres Village di Phnom Penh tidak boleh bertutur dalam bahasa Cham.

Khmer Rouge bukan hanya memusuhi Islam, malah sebarang kepercayaan beragama lain seperti Buddha dan Kristian.

Bagaimanapun, ketaatan beragama di kalangan umat Islam Cham menyebabkan Khmer Rouge menjadikan mereka sasaran utama berbanding penganut agama lain.

Khmer Rouge turut memusnahkan 20 masjid, malah ada yang digunakan sebagai kandang babi. Lebih menyedihkan, mereka menggunakan kertas al-Quran untuk mengesat najis.

Selepas era pemerintahan kejam Pol-Pot, masyarakat Islam Kemboja kembali membangun selepas tertekan dalam trauma yang panjang.

Dalam keadaan dihambat pelbagai kepayahan dan kemiskinan selepas perang, mereka mula bangun membina identiti beragama khususnya di kalangan masyarakat minoriti Islam yang masih ada.

Selain menggunakan bahasa Khmer yang juga bahasa kebangsaan, pertuturan harian mereka menggunakan bahasa Melayu Champa.

Disebabkan mereka adalah golongan minoriti, ditambah pula dengan persekitaran politik di Kemboja yang kurang stabil, kehidupan masyarakat Islam di negara itu agak sukar.

“Tetapi itu tidak bermakna kami hanya duduk diam. Alhamdulillah, melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usaha dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan status ekonomi supaya mereka menjadi komuniti minoriti yang dihormati.

“Kami amat berterima kasih kepada umat Islam Malaysia yang prihatin dan banyak membantu bagi membangunkan semula penduduk Islam Kemboja,” katanya.

Setiap bulan ada sahaja rombongan dari Malaysia me­ngunjungi kampung etnik Cham di Kemboja untuk memberi bantuan.

Pembinaan masjid, surau, sekolah agama, telaga, ternakan lembu, itik dan pengisar tebu antara sumbangan masyarakat Islam di Malaysia.

“Kami juga menerima banyak kitab agama seperti muqadam dan al-Quran untuk diagihkan ke surau, masjid, sekolah agama dan penempatan penduduk Islam.

“Hanya Allah yang dapat membalas jasa dan pengorbanan umat Islam Malaysia membantu kami untuk bangun daripada trauma kekejaman Pol-Pot,” katanya.

No comments: